Tekan leher lelaki guna lutut, pegawai polis digantung tugas

Agensi
Julai 17, 2020 06:25 MYT
Pada awal rakaman, salah seorang daripada anggota itu dilihat menekan leher lelaki itu menggunakan lututnya dengan tangannya memegang kepala lelaki kulit hitam itu.
Seorang anggota polis di London digantung tugas manakala seorang lagi dihadkan tugas selepas video mereka menekan leher seorang lelaki kulit hitam menggunakan lutut tular di media sosial.
Rakaman yang berlaku di utara London pada Khamis itu menunjukkan dua anggota polis itu sedang menahan seorang lelaki yang bergari.
Pada awal rakaman, seorang daripada anggota polis dilihat menekan leher lelaki itu menggunakan lututnya dengan tangannya memegang kepala.
Lelaki itu kemudiannya menjerit meminta anggota tersebut melepaskannya dan tidak menekan leher sambil menegaskan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Sementara itu, jabatan polis dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua anggota itu bertindak terhadap satu laporan pergaduhan di kawasan itu.
Kenyataan itu menyatakan lelaki itu ditangkap kerana disyaki melakukan serangan dan memiliki senjata.
Polis di banyak kawasan kini sentiasa diperhatikan berikutan kematian George Floyd di Minnesota pada 25 Mei.
Derek Chauvin, seorang pegawai polis yang meletakkan lutut di leher Floyd selama hampir lapan minit telah dituduh melakukan pembunuhan tahap kedua.
#Derek Chauvin #George Floyd #leher #lelaki #London #lutut #mati #media sosial #polis #serangan #video
;