Tehran dakwa penjajahan asing sebagai punca utama masalah Afghanistan
Bernama
Jun 9, 2024 08:45 MYT
Jun 9, 2024 08:45 MYT
TEHRAN: Punca majoriti masalah dan cabaran yang dihadapi Afghanistan adalah pendudukan negara itu sebelum ini dan kurangnya perhatian terhadap pembangunan ekonominya oleh bekas penjajah mereka, kata Pemangku Menteri Luar Iran, Ali Bagheri pada Sabtu.
Pada Sabtu, wakil dari Iran, Rusia, Pakistan dan China berkumpul di Tehran untuk menghadiri mesyuarat Kumpulan Hubungan Serantau mengenai Afghanistan, lapor Sputnik.
"Sebab kebanyakan masalah dan cabaran yang dihadapi Afghanistan adalah pendudukan negara ini dan kurangnya perhatian terhadap pembangunan ekonominya, serta pemaksaan kemunduran oleh penjajah," menurut Bagheri dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibacakan oleh pembantunya, Ketua Pengarah Jabatan Asia Selatan Kementerian Luar Iran, Seyyed Rasoul Mousavi, pada mesyuarat kumpulan itu.
Pegawai itu berkata, walaupun tentera pendudukan telah meninggalkan Afghanistan, negara tersebut masih menghadapi halangan pembangunan kerana akses rakyatnya kepada sumber-sumber Afghanistan telah dihadkan.
Bagheri berkata, satu daripada masalah yang dihadapi Asia Barat sekarang ialah penghijrahan besar-besaran rakyat Afghanistan ke negara-negara jiran, sambil menambah perlu ada mekanisme yang dikawal oleh PBB untuk membantu Afghanistan mengembalikan semua pendatang, menyediakan mereka dengan tanah dan keadaan hidup yang baik.
Menteri itu berkata, Iran sentiasa menyokong inisiatif membina yang bertujuan mencapai keamanan dan kestabilan di Afghanistan, termasuk mesyuarat menteri luar dari negara jiran Afghanistan dan perbincangan format Moscow.
Mesyuarat di Tehran dihadiri oleh Wakil Khas Pakistan mengenai Afghanistan Asif Durrani; Utusan Presiden Iran untuk Afghanistan, Hassan Kazemi Qomi; Duta Khas China ke Afghanistan, Yue Xiaoyong dan Duta Besar Rusia ke Afghanistan, Dmitry Zhirnov.
Pergerakan Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021 namun Kerajaan Taliban tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Banyak negara dan organisasi antarabangsa memotong bantuan dan hubungan dengan Kabul. -BERNAMA-SPUTNIK