Tehran berjanji balas dendam terhadap kematian saintisnya Fakhrizadeh

Astro Awani
November 28, 2020 00:25 MYT
Rouhani mengulangi pendirian bahawa kematian Fakhrizadeh tidak akan menghentikan program nuklearnya. - AP
PRESIDEN Iran, Hassan Rouhani berjanji untuk membalas dendam atas pembunuhan seorang saintis program nuklearnya selain turut menyalahkan Israel atas kejadian itu.
Dakwaan tersebut sekali gus meningkatkan kembali ketegangan berkaitan program nuklear Iran.
Malah regim Zionis tersebut didakwa Iran sebagai dalang pembunuhan saintisnya sejak sedekad lalu.
Ia berdasarkan kaedah pembunuhan yang digunakan ke atas Mohsen Fakhrizadeh yang dilihat dilakukan dengan begitu teliti.
Pembunuhan terbaharu ini meningkatkan ketegangan hubungan Iran-Amerika Syarikat ketika tempoh terakhir Presiden AS, Donald Trump di White House.
Malah, serangan terbaharu ini bakal menjejaskan pentadbiran Joe Biden untuk kembali meletakkan Tehran dalam perjanjian nuklear bersama kuasa dunia lain.
Rouhani turut mengulangi pendirian bahawa kematian Fakhrizadeh tidak akan menghentikan program nuklearnya.
Sementara itu, penganalisis membandingkan Fakhrizadeh setanding dengan Robert Oppenheimer, saintis yang mengetuai Projek Manhattan Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua yang mencipta bom atom.
#Donald Trump #White House #Israel #Iran #Zionis #Mohsen Fakhrizadeh
;