Tedros bakal terajui WHO untuk penggal ke-2

Astro Awani
Januari 25, 2022 07:37 MYT
Tedros merupakan salah seorang tokoh yang paling dikenali dalam perjuangan global menentang COVID-19. - Gambar fail REUTERS
TEDROS Adhanom Ghebreyesus dijangka meneraju Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk penggal kedua selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan Ketua Pengarah badan kesihatan sedunia itu.
Pemilihan akan berlangsung pada Mei ini.
Tedros, yang juga pemimpin dari Afrika pertama menjawat jawatan itu, berterima kasih atas sokongan orang ramai selepas Lembaga Eksekutif WHO mengadakan undian rahsia yang meluluskan pencalonannya itu pada Selasa.
"Saya kehilangan kata-kata," katanya yang kelihatan terharu selepas hampir semua 34 ahli lembaga yang mewakili seluruh dunia menyokong beliau.
Bekas Menteri Kesihatan dan Hal Ehwal Luar Habsyah itu dijangka dipilih semula apabila 194 negara anggota WHO mengundi nanti.
Tedros, yang merupakan salah seorang tokoh yang paling dikenali dalam perjuangan global menentang COVID-19, mengakui bahawa penggal lima tahun pertamanya adalah mencabar dan sukar.
Namun, ia merupakan satu penghormatan besar buatnya.
Sejak COVID-19 muncul dua tahun lalu, pakar malaria yang berusia 56 tahun itu menerima banyak pujian atas cara beliau mengemudi WHO.
#Tedros Adhanom Ghebreyesus #Ketua Pengarah WHO #calon tunggal #undian rahsia
;