Tebing runtuh: Lapan maut, dua masih hilang bot dihempap batu besar
Astro Awani
Januari 9, 2022 07:46 MYT
Januari 9, 2022 07:46 MYT
MINAS GERAIS: Operasi mencari diteruskan di Tasik Furnas, Brazil selepas runtuhan batu di tebing menghempap beberapa bot pelancong dan mengorbankan lapan nyawa setakat Ahad.
Pasukan penyelamat, terdiri daripada anggota tentera laut, pertahanan awam dan jabatan bomba negeri memulakan hari kedua pencarian pada awal pagi.
Difahamkan dua mangsa masih hilang akibat tragedi tersebut.
Sekurang-kurangnya 32 orang cedera namun kebanyakan mereka telah dibenarkan keluar hospital.
Imej video menunjukkan kumpulan bot-bot kecil bergerak perlahan berhampiran tebing batu di Tasik Furnas apabila berlaku retakan, sebelum batu besar jatuh mengenai sekurang-kurangnya dua bot.
Tasik Furnas merupakan tarikan pelancong yang popular di kawasan itu, kira-kira 420 kilometer di utara Sao Paulo.
Difahamkan hujan lebat baru-baru ini mungkin menyebabkan kepingan batu itu pecah.