#TearItUpBTS: Segala-galanya kerana ARMY
Astro Awani
Februari 11, 2019 15:55 MYT
Februari 11, 2019 15:55 MYT
JARANG sekali berlaku fenomena global yang setara dengan apa yang dikecapi oleh band K-Pop tersohor, BTS pada masa ini.
Kemunculan ketujuh-tujuh anggota BTS di majlis Anugerah Grammy 2019 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad malam (waktu tempatan), Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V, RM and Jungkook sudah cukup mencetuskan keghairahan dalam kalangan peminat setia mereka yang dikenali sebagai ARMY.
Limpahan mesej berkicauan di laman Twitter dengan hashtag #TearItUpBTS sebagai tanda sokongan dan kebanggaan buat BTS kerana menjadi bintang pop Asia yang mencetus trending di celah-celah kegemilangan Hollywood yang selama ini mendominasi pasaran muzik dunia.
Lalu, tidak hairanlah kenapa kejayaan album band berkenaan dicalonkan dalam Anugerah Grammy 2019 bagi kategori Kulit Album Terbaik dianggap titik permulaan untuk BTS menawan dunia.
Sekalipun, album BTS, Love Yourself: Tear kalah kepada album Masseduction (St. Vincent) namun itu bukan pengakhiran impian dan cita-cita besar band berkenaan.
Peluang keemasan kepada BTS berada dalam senarai calon finalis selain diundang berjalan ke karpet merah serta diwawancara media Hollywood sudah cukup memberi pengiktirafan besar kepada artis dari luar AS.
Kepada ARMY, apa yang paling utama ialah rekod yang dicipta oleh album Love Yourself: Tear iaitu album artis Korea pertama yang diiktiraf oleh Recording Academy, penganjur anugerah berprestij, Grammy.
Sokongan moral yang ditunjukkan oleh ARMY sudah cukup membahagiakan BTS kerana peminat adalah segala-galanya buat ketujuh-tujuh anak muda yang menempa populariti luar biasa.
Untuk rekod, sejak mempunyai akaun rasmi Twitter bermula Mei 2013, BTS mengumpul seramai 13.9 juta pengikut manakala di laman Instagram pula, kumpulan ini mempunyai 15.5 juta pengikut setia.
Sekalipun, jumlah pengikut ARMY seperti yang tercatat di laman Twitter @BTS_ARMY berjumlah hanya lebih 3.42 juta, pengaruh yang dimainkan penyokong kumpulan ini bukan calang-calang.
Dalam temu bual dengan Entertainment Tonight di karpet merah Grammy, seorang daripada anggota BTS, RM berkata, ARMY merupakan sayap paling penting yang menerbangkan mereka ke acara berprestij dunia itu.
"Mereka (ARMY) menjadikan kami seperti hari ini. Mereka memberikan kami sayap. Mereka memberikan segala peluang kepada BTS. Saya pasti mereka (ARMY) berbangga dengan pencapaian kami. Kami berasa amat bertuah sekali," kata RM.
Ucapan penghargaan kepada peminat yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaan BTS tidak pernah lekang daripada bibir-bibir lelaki-lelaki muda itu.
Bahkan, ketika diwawancara oleh hos ternama dunia, Ryan Seacrest dari saluran E! juga, BTS masih bercakap mengenai ARMY.
Kata BTS, peminat-peminat sentiasa menjadi sumber inspirasi buat mereka dalam berkarya.
"Ia adalah satu anugerah kerana kami memperoleh kecintaan melakukan apa yang kami suka untuk lakukan... kami sangat berterima kasih," kata BTS merujuk kepada sokongan berterusan ARMY.
Di karpet merah Anugerah Grammy 2019, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V, RM and Jungkook segak melangkah kaki meletakkan diri mereka sebaris bintang-bintang ternama dunia.
Kemunculan pertama kali di anugerah hebat itu sekali gus merealisasikan keinginan yang sudah lama dipendam oleh BTS.
"Ia melengkapkan cita-cita dan keinginan kami. Kami seperti tidak percaya sudah berada di sini (Grammy) hari ini," ujar band berkenaan yang sangat masyhur dengan lagu I Need U.