Taylor Swift sokong Kamala Harris dalam pilihan raya AS

Reuters
September 11, 2024 12:30 MYT
Taylor Swift menyatakan sokongan kepada Kamala Harris untuk Pilihan Raya Presiden 2024. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Taylor Swift menyatakan sokongan kepada calon presiden Demokrat, Kamala Harris, pada Rabu selepas debat presiden Amerika Syarikat (AS) antara Harris dan bekas Presiden Republikan, Donald Trump.
Dalam suatu kiriman Instagram, selebriti terkenal itu menyatakan bahawa beliau akan mengundi Harris pada pilihan raya AS pada 5 November, yang dijangka sengit berdasarkan tinjauan semasa.
"Saya akan mengundi Kamala Harris dan Tim Walz dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
“Saya menyokong @kamalaharris kerana beliau memperjuangkan hak dan nilai yang saya percaya memerlukan seorang pejuang untuk mempertahankannya," kata Swift.
Sokongan penyanyi terkenal itu adalah yang terbesar daripada kalangan industri hiburan untuk Harris, dengan ramai pelakon dan pembuat filem dari Hollywood turut menyatakan sokongan terhadap naib presiden AS itu.
Swift turut menyertakan gambar dirinya bersama kucingnya, dengan kapsyen "wanita tanpa anak bersama kucing," sebagai sindiran kepada kenyataan JD Vance (calon naib presiden Republikan), yang pernah menggambarkan beberapa pemimpin Demokrat dengan istilah tersebut dalam wawancara 2021.
Vance kemudian menyatakan bahawa kenyataannya hanyalah sindiran.
Swift sebelum ini turut menyokong Demokrat, termasuk memberi sokongan kepada Presiden Joe Biden pada pilihan raya 2020.
#Taylor Swift #Amerika Syarikat #Kamala Harris #pilihan raya
;