Tawaran Amazon Jepun untuk perkhidmatan penghantaran sami dikritik

Syafique Shuib
Januari 31, 2016 19:45 MYT
Sebuah syarikat di Jepun menggunakan platform Amazon untuk tawar perkhidmatan penghantaran seorang sami ke rumah atau tanah perkuburan.
SEBUAH persatuan Buddha di Jepun mengkritik tindakan syarikat pemasaran antarabangsa Amazon yang membenarkan perkhidmatan penghantaran sami ditawarkan di laman web mereka.
Menurut laporan The Associated Press, syarikat Minrevi Co. menawarkan perkhidmatan penghantaran sami ke rumah atau di tanah perkuburan untuk upacara pengebumian.
“Tiada negara lain yang tawar (perkhidmatan) sebegini. Kami kecewa dengan sikap Amazon berhubung soal agama,” kata pengarah Persatuan Buddha Jepun Akisato Saito dalam satu kenyataan.
Namun pengguna tempatan mengalu-alukan perkhidmatan ini kerana harga yang dianggap lebih berpatutan.
Menurut laporan yang sama, harga untuk seorang sami, pengangkutan dan derma adalah lebih kurang $300 (RM1242.88), manakala kos perkhidmatan yang sama yang ditawarkan oleh pihak kuil adalah $830 (RM3438.62).
Minrevi Co. berkata perkhidmatan ini sesuai untuk mereka yang mahukan ritual keagamaan tapi tidak tahu tentang sistem harga dan juga tidak mempunyai hubungan dengan pihak kuil.
“Tidak ramai yang mempunyai hubungan dengan pihak kuil dan mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan upacara keagamaan.
"Sementara itu, pihak kuil pula risau tentang jumlah keahlian mereka. Jadi perkhidmatan ini diharap dapat menyatukan kedua-dua pihak,” kata Masano, dipetik dari The Associated Press.
Sementara itu, pihak Amazon tidak memberikan sebarang komen dan berkata ia hanya memberi ruang untuk pihak Minrevi mempromosikan perkhidmatan mereka.
#Amazon #kuil #Minrevi Co #sami buddha
;