Tawar siaran perlawanan bola sepak secara haram, lima individu dipenjara

Hafizi Rosli
Mei 31, 2023 11:30 MYT
Dalang utama kumpulan, Mark Gould, 36 dijatuhi hukuman penjara 11 tahun atas kesalahan menjalankan operasi penyiaran perlawanan bola sepak secara haram. - Foto/PREMIER LEAGUE
DERBY, UNITED KINGDOM: Lima individu yang bertanggungjawab menyiarkan perlawanan bola sepak Liga Perdana kepada puluhan ribu penonton secara haram dijatuhi hukuman penjara di United Kingdom (UK).
Menurut laporan agensi berita BBC, kumpulan itu didakwa menjual pakej bulanan tontonan berharga serendah £10 Pound Sterling atau sekitar RM57 melalui perkhidmatan TV Flawless berbanding £80 (RM457) sebulan bagi langganan Sky, BT Sport dan Amazon Prime.
Di Mahkamah Derby Crown, dalang utama kumpulan, Mark Gould, 36, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun.
Gould sendiri dilaporkan meraih pendapatan £1.7 juta (RM9.7 juta)
Kumpulan itu didakwa menerima langganan pengguna dari UK, Qatar, Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan menstrimnya melalui perkhidmatan Flawless.
Modus operasi kegiatan itu adalah dengan membangunkan aplikasi yang menawarkan perlawanan Liga Perdana dan kandungan lain melalui telefon dan tv pintar.
Hasil kegiatan itu, mereka berjaya meraih 50,000 penonton dengan jumlah keuntungan £7 juta (RM40.1 juta).
Kumpulan itu juga dilaporkan turut membuat keuntungan sebanyak £7.2 juta (RM41 juta)antara 2016 dan 2021 menurut liga.
Menurut penganjur liga, pendakwaan dibuat bagi melindungi kandungan yang dakwa mereka merupakan kandungan paling berharga di dunia.
Butiran peribadi mereka yang melanggan pakej itu kini berada dalam tangan penyiasat dan mungkin siasatan dan tindakan akan diambil oleh pihak penganjur.
#Liga Perdana #siaran haram #bola sepak #flawless
;