Taufan Yasa badai Fiji, bayi tiga bulan antara yang terkorban

Khairunnisa Kasnoon
Disember 18, 2020 23:06 MYT
Taufan yang membawa bersama angin kencang itu membadai dengan kelajuan 345 kilometer sejam.
SUVA: Sekurang-kurangnya dua maut selepas taufan kuat melanda Fiji yang turut memusnahkan puluhan kediaman di Kepulauan Pasifik.
Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama memaklumkan, mangsa maut merupakan bayi berusia tiga bulan dan seorang lelaki dalam lingkungan 40-an.
Taufan yang membawa bersama angin kencang itu membadai dengan kelajuan 345 kilometer sejam.
Media tempatan melaporkan lelaki yang maut dikenali sebagai Ramesh Chand, seorang petani yang sedang berlindung dalam rumahnya ketika taufan itu memusnahkan kediamannya dan turut mencederakan anak sulungnya.
Taufan itu turut melalui Vanua Levu sekitar jam 6 petang pada Khamis.
Menurut pihak berkuasa, taufan itu melemah pada Jumaat ketika ia bergerak ke tenggara di beberapa pulau luar Fiji.
Bagaimanapun, kelajuan taufan dengan angin kencang itu kekal hingga 250 kilometer sejam.
Taufan itu antara lain mendorong lebih daripada 20,000 orang berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Ia turut memutuskan bekalan elektrik, komunikasi serta menyebabkan banjir kilat dan penutupan jalan.
#Fiji #taufan #bayi #angin kencang #Frank Bainimarama #Ramesh Chand #Vanua Levu
;