Taufan Yagi ragut 141 nyawa, 59 hilang di wilayah utara Vietnam

Bernama
September 11, 2024 18:10 MYT
Seramai 46 orang telah diselamatkan daripada banjir kilat yang memusnahkan seluruh kampung Lang Nu di Wilayah Lao Cai di utara Vietnam yang dihuni seramai 158 orang penduduk. - Gambar/ Reuters
HANOI: Setakat pagi Rabu, Taufan Yagi dan kejadian tanah runtuh serta banjir telah meragut 141 nyawa manakala 59 hilang di wilayah utara Vietnam, umum Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, lapor Xinhua.
Antara yang maut, 29 adalah dari Wilayah Cao Bang, 45 dari Wilayah Lao Cai dan 37 dari Wilayah Yen Bai.
Pihak berkuasa tempatan Wilayah Tuyen Quang mengesahkan pada Selasa malam bahawa benteng Sungai Lo yang mengalir melalui komuniti Quyet Thang telah pecah akibat peningkatan paras air sungai, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Paras banjir di Sungai Merah di ibu negara Hanoi telah melepasi tahap amaran kedua daripada tiga tahap dan dijangka mencapai paras tertinggi pada tengah hari Rabu, menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan awal pagi Rabu.
Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan pada pagi Rabu turut mengeluarkan amaran mengenai paras air yang sangat tinggi di Sungai Thao dengan air di beberapa batang sungai telah melimpahi tebing.
Menurut pusat itu, terdapat risiko tinggi banjir di kawasan rendah berhampiran sungai di kawasan utara manakala banjir kilat dan tanah runtuh diramalkan berlaku di kawasan pergunungan.
Sementara itu, seramai 46 orang telah diselamatkan daripada banjir kilat yang memusnahkan seluruh kampung Lang Nu di Wilayah Lao Cai di utara Vietnam yang dihuni seramai 158 orang penduduk.
Menurut VNA, setakat pagi Rabu, pihak berkuasa di Daerah Bao Yen mengesahkan bahawa 18 orang maut akibat bencana itu, 17 sedang menerima rawatan perubatan dan 77 yang lain masih hilang.
Banjir kilat yang dicetuskan oleh hujan lebat susulan Taufan Yagi itu melanda pada kira-kira 6 pagi Selasa, menjejaskan keseluruhan 37 keluarga di kampung berkenaan.
Usaha menyelamat yang sedang dijalankan terganggu akibat hujan lebat berterusan dan risiko bencana menyebabkan trafik ke kawasan terpencil itu terputus, yang turut mengalami gangguan elektrik dan telekomunikasi.
Pengarah jabatan kesihatan Lao Cai bersama tiga pasukan kecemasan dari hospital besar wilayah itu telah tiba di Bao Yen untuk membantu operasi menyelamat.
Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Lao Cai Trinh Xuan Truong melawat mangsa banjir kilat di hospital pada Selasa malam.
Satu mesyuarat tergempar juga diadakan selepas itu untuk usaha pemulihan yang berterusan.
-- BERNAMA
#taufan yagi #Vietnam #Hanoi #SAPA
;