Taufan Vamco: 42 disahkan terkorban di utara Filipina
Khairunnisa Kasnoon
November 14, 2020 22:15 MYT
November 14, 2020 22:15 MYT
SEKURANG-KURANGNYA 42 orang terkorban selepas Taufan Vamco membadai sebahagian besar utara Filipina dan menyebabkan banjir.
Mangsa yang maut termasuk sekurang-kurangnya 12 penduduk kampung yang tertimbus banjir lumpur di wilayah utara Cagayan dan Nueva Vizcaya.
Polis berkata, 20 yang lain masih hilang.
Dalam pada itu, puluhan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dengan permintaan bantuan yang berterusan dihebahkan ke seluruh negara termasuk di rangkaian radio, televisyen dan media sosial.
Menurut pihak berkuasa, banjir mulai surut dan cuaca semakin baik di banyak kawasan selepas Taufan Vamco bergerak ke Laut China Selatan pada Jumaat.
Bagaimanapun, pasukan tentera memaklumkan mereka masih berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di beberapa kawasan penempatan yang dilanda banjir.