Taufan Trami: Dua maut, pengangkutan awam terjejas, rumah bergelap
Astro Awani
Oktober 1, 2018 11:03 MYT
Oktober 1, 2018 11:03 MYT
Taufan kuat menumbangkan pokok di landasan kereta api dan menerbangkan serpihan runtuhan apabila ia melanda ibu negara Jepun awal Isnin.
Kejadian itu menyaksikan dua terbunuh sementara ribuan warga kota terperangkap kerana perkhidmatan kereta api terjejas akibat laluan ditutup.
Taufan Trami mula tiba di barat Jepun pada petang Ahad, membawa hujan lebat, angin kencang dan tanah runtuh di Hokkaido, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Taufan itu yang dinilai sebagai kategori 1, setakat ini mengorbankan dua nyawa dan mencederakan hampir 130 orang, menurut stesen penyiaran NHK.
Dua lagi dilaporkan hilang sementara hampir 400,000 isi rumah terputus bekalan elektrik.
Ratusan orang turut terkandas di luar stesen kereta api apabila kebanyakan tren komuter ditutup sejak Ahad. Lebih 230 penerbangan juga, kebanyakannya di utara Jepun, terpaksa dibatalkan.
Lapangan Terbang Kansai di Osaka, barat Jepun, membuka semula landasannya mengikut jadual pada jam 6 pagi Isnin waktu tempatan, selepas ditutup sejak pukul 11 pagi Ahad.
Lapangan terbang itu baru sahaja dibuka semula pada 21 Sept lalu susulan banjir akibat Taufan Jebi yang melanda Jepun awal bulan lalu.
#bekalan elektrik
#Hokkaido
#Jepun
#landasan
#Lapangan Terbang Kansai
#osaka
#pokok
#runtuhan
#stesen kereta api
#tanah runtuh
#taufan
#Taufan Jebi
#Trami