Taufan Shanshan: Lebih 50 cedera di barat daya Jepun

Bernama
Ogos 29, 2024 16:17 MYT
taufan itu dijangka melalui keseluruhan kepulauan Jepun dalam beberapa hari akan datang. - Foto Reuters
TOKYO: Sekurang-kurangnya 54 orang cedera selepas taufan kuat melanda Kyushu, pulau utama di barat daya Jepun pada awal pagi Khamis, menurut stesen televisyen Jepun NHK, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi cuaca Jepun telah mengeluarkan amaran ketika Taufan Shanshan terus bergerak ke arah utara menjejaskan kira-kira 250,000 isi rumah yang terputus bekalan elektrik.
Di bandar Nagasaki, hampir 400,000 orang telah dipindahkan. Perkhidmatan kereta api terganggu dan banyak penerbangan dibatalkan.
Menurut laporan media, pengeluar kereta Toyota menghentikan operasi di 14 kilang domestiknya sehingga Jumaat.
Agensi itu berkata Taufan Shanshan mula mendarat berhampiran bandar Satsumasendai di wilayah Kagoshima pada awal pagi Khamis, bergerak ke utara dengan kelajuan 15 kilometer sejam dan dengan kelajuan angin sehingga 216 kilometer sejam.
Menurut NHK, taufan itu dijangka melalui keseluruhan kepulauan Jepun dalam beberapa hari akan datang.
-- BERNAMA
#Taufan Shanshan #Jepun #penduduk cedera #Agensi cuaca Jepun #Nagasaki