Taufan Shanshan dijangka landa Jepun 27 Ogos

Bernama
Ogos 24, 2024 16:45 MYT
Hujan lebat kerap melanda Tokyo dan kawasan sekitarnya kebelakangan ini, menyebabkan banjir dan menjejaskan perkhidmatan kereta api. - Gambar hiasan/ AP
TOKYO: Taufan kuat dijangka menghampiri bahagian barat dan timur Jepun dari Selasa hingga Rabu, dengan pengendali kereta api laju shinkansen memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan perkhidmatan di banyak kawasan sebagai langkah berjaga-jaga, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, Taufan Shanshan dijangka bergerak ke utara menuju ke pantai Pasifik Jepun dengan kekuatan anginnya semakin meningkat akibat suhu laut yang tinggi, walaupun laluannya masih sukar untuk diramalkan.
Setakat 9 pagi Sabtu, taufan itu berada di sekitar Kepulauan Ogasawara, selatan Tokyo dan sedang bergerak ke arah utara dengan kelajuan 25 kilometer sejam.
Agensi itu turut memberi amaran mengenai kilat, angin kencang, hujan batu dan hujan lebat sepanjang hujung minggu sebelum ketibaan ribut tropika berkenaan.
Hujan lebat kerap melanda Tokyo dan kawasan sekitarnya kebelakangan ini, menyebabkan banjir dan menjejaskan perkhidmatan kereta api.
Menurut pengendali, apabila taufan itu tiba, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen Tokaido, Sanyo, Joetsu dan Hokuriku mungkin dibatalkan atau digantung di sebahagian atau keseluruhan laluannya pada Selasa dan Rabu.
-- BERNAMA
#Jepun #Taufan Shanshan #shinkansen #bencana alam