Taufan Shanshan bergerak ke barat Jepun

Bernama
Ogos 27, 2024 20:39 MYT
Taufan itu telah menyebabkan gangguan pada perkhidmatan kereta api laju dan kemungkinan pembatalan selanjutnya. - Reuters
TOKYO: Taufan kuat yang melanda kawasan kepulauan Amami di barat daya Jepun pada Selasa dijangka menuju ke arah barat negara itu dalam beberapa hari akan datang dan mungkin mendarat, menurut agensi cuaca Jepun.
Taufan itu telah menyebabkan gangguan pada perkhidmatan kereta api laju dan kemungkinan pembatalan selanjutnya, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut Kyodo, Taufan Shanshan yang bergerak perlahan boleh menyebabkan gangguan berpanjangan dengan Agensi Meteorologi Jepun meramalkan hujan lebat di kawasan yang luas, termasuk Amami dan pantai Pasifik di barat dan timur Jepun.
Agensi itu menggesa penduduk supaya berwaspada terhadap kejadian tanah runtuh, banjir di kawasan rendah, dan limpahan air sungai.
Menurut agensi itu, kepulauan Amami dan beberapa bahagian di barat Jepun juga dijangka mengalami angin kencang.
Hujan lebat pada Selasa telah menyebabkan beberapa perkhidmatan kereta api laju Tokaido Shinkansen antara stesen Tokyo dan Shin-Osaka digantung pada sebelah pagi.
Perkhidmatan Tokaido dan Sanyo Shinkansen yang merentasi pantai Pasifik dari Tokyo ke bandar barat daya Fukuoka juga mungkin menghadapi gangguan pada sebahagian atau keseluruhan laluan mereka dari Khamis hingga Sabtu.
Menurut pengendali perkhidmatan itu, kereta api Kyushu Shinkansen di barat daya Jepun juga mungkin melaksanakan langkah serupa bermula Rabu.
-- BERNAMA
#taufan #Jepun #bencana alam #Gangguan Perkhidmatan