Taufan Saola hampiri China, Hong Kong

Astro Awani
Ogos 31, 2023 06:30 MYT
Jaring dipasang di luar sebuah restoran di Hong Kong menjelang kedatangan Taufan Saola. - Foto REUTERS
BEIJING: China mengeluarkan amaran taufan tahap tertinggi hari ini ketika Taufan Saola yang membawa angin kencang berkelajuan lebih 200 kilometer sejam menuju ke arah pantai tenggara, sekali gus mengancam Hong Kong serta hab pembuatan utama di wilayah Guangdong.
Agensi ramalan cuaca China lebih awal mengeluarkan amaran merah pada jam 6 pagi pada Khamis.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China, Taufan Saola dijangka membadai sepanjang kawasan pantai dari Huilai County di Guangdong hinggalah ke Hong Kong, hingga malam esok.
Berdasarkan ramalan, katanya, ia boleh muncul antara lima taufan paling kuat melanda Guangdong sejak 1949.
Menjelang ketibaan Taufan Saola, bandar Shenzhen di Guangdong bersiap sedia untuk menutup kelas di pusat asuhan, tadika dan sekolah rendah serta menengah.
Media tempatan menyebut, pengendali perkhidmatan kereta api, China Railway pula menghentikan sementara beberapa perjalanan utama.
Manakala Shanghai membatalkan perkhidmatan kereta api ke Guangdong.
#taufan Saola #amaran taufan #angin kencang #Pusat Meteorologi Kebangsaan China
;