Taufan Roslyn badai Mexico, dua dilaporkan terkorban

Astro Awani
Oktober 24, 2022 09:20 MYT
Sebuah trak terbalik di lebuh raya susulan Taufan Roslyn yang membadai di Tecuala, Nayarit, Mexico, 23 Okt 2022. REUTERS
TAUFAN Roslyn membadai pantai barat Mexico pada Ahad susulan ribut kuat di tahap Kategori 3.
Setakat ini, dua dilaporkan terkorban di negeri Nayarit, iaitu seorang lelaki berusia 74 tahun yang ditimpa sebatang rasuk rumah di bandar Mexcaltitan de Santiago Ixcuintla dan seorang wanita berusia 39 tahun yang ditimpa pagar runtuh di daerah Rosamorada.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat melaporkan, gelombang ribut berbahaya dan banjir kilat memaksa penduduk berlindung di tempat selamat.
Menurut NHC, ribut melanda berhampiran bandar kecil Santa Cruz di pantai Nayarit sekitar jam 5.30 pagi waktu tempatan dengan anggaran angin berkelajuan maksimum 120 batu sejam.
Hanya beberapa jam sebelum melanda pantai Mexico, tahap Taufan Roslyn diturunkan daripada Kategori 4 kepada ribut Kategori 3.
NHC dan Perkhidmatan Meteorologi Mexico memberi amaran tentang angin kencang, hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh serta ombak setinggi enam meter di sepanjang pantai Pasifik.
Taufan Roslyn, kata NHC, dijangka menghasilkan gelombang ribut yang mengancam nyawa dengan banjir di kawasan pantai angin darat hingga petang Isnin.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran taufan untuk sebahagian negeri pantai Pasifik Jalisco, Nayarit, Sinaloa dan Las Islas Marias, kira-kira 60 batu di luar pesisir pantai.
Angin kencang dan laut bergelora melanda pusat peranginan Jalisco di Puerto Vallarta yang menempatkan kira-kira 220,000 orang dan salah satu bandar terbesar di kawasan terjejas akibat taufan pada jam 9 pagi.
Hujan lebat di bandar Bucerias mengakibatkan banjir kilat dan menjadikan beberapa kawasan dinaiki air.
#Taufan Roslyn #ribut #hujan lebat #Mexico
;