Taufan Prapiroon landa selatan China

Bernama
Julai 22, 2024 23:43 MYT
Hujan lebat melanda timur, tengah dan barat Hainan sejak 8 pagi Ahad hingga 10 pagi Isnin. - Gambar AP
HAIKOU: Taufan Prapiroon yang membawa ribut petir dan angin kencang melanda kepulauan Hainan di selatan China dari Ahad hingga pagi Isnin, menurut pihak berkuasa meteorologi tempatan, lapor Xinhua.
Hujan lebat melanda timur, tengah dan barat Hainan sejak 8 pagi Ahad hingga 10 pagi Isnin.
Sebanyak 12 bandar dan daerah di wilayah itu termasuk ibu kota wilayah Haikou menyaksikan taburan hujan melebihi 100 milimeter.
Angin kencang melanda kawasan pantai dan perairan Hainan dengan kelajuan tertinggi direkodkan di Wancheng Town, Wanning City mencecah 38.2 meter sesaat.
Taufan itu kemudiannya bergerak ke perairan timur Teluk Beibu menjelang 10 pagi waktu tempatan.
Prapiroon dijangka terus bergerak ke arah barat laut, menghampiri kawasan pantai berhampiran sempadan China-Vietnam, menurut balai cerap meteorologi wilayah Hainan.
-- BERNAMA
#taufan Prapiroon #selatan China #Hainan #hujan lebat
;