Taufan Nock-ten hampiri Filipina, ribuan terkandas sempena Krismas
Agensi
Disember 25, 2016 16:08 MYT
Disember 25, 2016 16:08 MYT
Taufan yang semakin kuat dilaporkan menghampiri bahagian tengah Filipina pada Ahad, sementara pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran tentang kemungkinan kemusnahan teruk pada Hari Krismas.
Pada maa yang sama, lapor AFP, pihak berkuasa sudah menggerakkan jentera bagi membantu usaha memindahkan ribuan orang ke tempat yang lebih selamat.
Ramalan cuaca memberitahu, Taufan Nock-ten yang semakin ganas kini membawa tiupan angin selaju 185 kilometer sejam (km/j) dengan kekuatan terjahan sehingga 255km/j. Pergerakan taufan itu ke arah barat dan melintasi laut adalah pada kelajuan 15 km/j.
“Kita harus bersedia kerana ini adalah taufan yang sangat kuat. Ia mampu memusnahkan rumah dan melemahkan struktur bangunan,” ujar jurucakap biro cuaca, Rene Paciente.
Ribut juga dijangka sampai ke kawasan daratan di wilayah Catanduanes di semenanjung Bicol pada lewat hari Ahad. Di situ juga amaran tertinggi taufan sudah dikeluarkan.
Pihak berkuasa bimbang jika bencana ribut tiba, lantas membuatkan ribuan orang meninggalkan perkampungan di pesisiran pantai.
Operasi pengangkutan darat, laut dan udara telah dihentikan sementara di beberapa kawasan. Situasi itu membuatkan ribuan orang yang ingin pulang ke destinasi masing-masing bagi meraikan Natal, terkandas.
Pada 2013, lebih darip[ada 6,000 orang terbunuh sementara 200,000 orang musnah apabila Taufan Haiyan membadai kepulauan Leyte dan Samar.
Kira-kira 20 taufan besar merentasi Filipina setiap tahun. Sejak 1948, sekurang-kurangnya tujuh taufan melanda negara itu ketika musim perayaan Krismas.