Taufan Nisarga mula membadai Mumbai

Agensi
Jun 3, 2020 19:35 MYT
Taufan Nisarga yang membawa angin dengan kelajuan 120 kilomter sejam pada Rabu itu dikategorikan sebagai siklon tahap empat. - AP
Ribut taufan dari Laut Arab mula membadai pantai barat India dan bandar Mumbai sehingga memaksa puluhan ribu penduduknya dipindahkan.
Menurut Ketua Pengarah Pasukan Tindak Balas Bencana Nasional negara, Satya Narayan Pradhan taufan tersebut bergerak melalui laluan yang diramalkan dan semua persiapan sudah dilakukan.
Taufan Nisarga yang membawa angin dengan kelajuan 120 kilometer sejam pada Rabu itu dikategorikan sebagai siklon tahap empat berdekatan bandar Alibagh, 98 kilometer dari selatan Mumbai.
Rakaman yang dirakam di Maharashtra memaparkan keadaan angin kencang sehingga menyebabkan pokok tumbang dan laut bergelora.
Ini merupakan taufan terburuk sejak berpuluh tahun lalu, yang membadai bandar dengan kepadatan penduduk sehingga 20 juta orang.
Keadaan itu lebih membimbangkan susulan penularan COVID-19 di negara itu.
Sebelum ini, taufan Amphan membadai negara itu dan Bangladesh dua minggu lalu sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 100 kematian.
#angin kencang #India #Mumbai #ribut taufan #Taufan Nisarga
;