Taufan Nepartak badai Taiwan, puluhan ribu penduduk dipindahkan
Agensi
Julai 9, 2016 09:15 MYT
Julai 9, 2016 09:15 MYT
Taufan Nepartak membadai Taiwan pada Jumaat hingga ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, bekalan kuasa terputus dan lebih 600 jadual penerbangan ditangguhkan, kata pihak berkuasa.
Televisyen tempatan menyiarkan laporan dari lokasi yang menunjukkan motosikal bertimpa-timpa manakala papan tanda di premis perniagaan tercabut dari kedudukannya selain kemusnahan di kebanyakan jalan di tenggara Taiwan.
Reuters melaporkan, pada sebelah petang, taufan itu bergerak ke Selat Taiwan dan melemah sepanjang ia merentas wilayah Fujian di tenggara China.
Begitupun, bencana banjir dan ancaman angin kuat masih berlaku hingga membahayakan penduduk di bahagian tengah dan selatan Taiwan.
Lebih daripada 17,300 orang telah dipindahkan dari kediaman masing-masing, makala lebih 517,000 keluarga kehilangan bekalan kuasa, kata pegawai bantuan kecemasan.
“Angin terlalu kencang, banyak bumbung dan papan tanda diterbangkan,” ujar seorang penduduk di Taitung kepada Reuters.
Setakat ini tiga kematian dan 172 orang cedera. Selain itu, perkhidmatan kereta api laju telah dihentikan sementara manakala lebih 340 penerbangan antarabangsa dan 300 penerbangan domestik dibataklan.
Agensi pemantau taufan telah mengklasifikasikan Nepartak sebagi taufan kategori 5, iaitu yang tertinggi dalam skalanya, namun ia dilihat semakin lemah menjadi hanya ribut tropika ketika ia sampai di Fujian pada pagi ini.
Lebih daripada 4,000 orang yang bekerja di ladang ternakan ikan di pesisiran pantai Fujian sudah dipindahkan dan bot-bot nelayan sudah dipanggil balik ke pelabuhan.