Taufan Nanmadol: Jepun keluar amaran khas, ribut dijangka bawa kemusnahan
Astro Awani
September 18, 2022 10:20 MYT
September 18, 2022 10:20 MYT
TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran taufan khas bagi wilayah Kagoshima di Kyushu.
Rantau itu sedang bersiap sedia menghadapi taufan besar yang kuat dan berpotensi membawa kemusnahan.
Amaran dibuat selepas agensi cuaca menggesa penduduk Kyushu mengosongkan kediaman apabila taufan Nanmadol melanda pada Ahad dan dijangka membawa hujan sehingga setengah meter.
Nanmadol diklasifikasikan sebagai taufan super oleh Pusat Amaran Taufan Bersama Tentera Laut Amerika Syarikat, berpotensi menjadi ribut tropika paling berbahaya melanda Jepun dalam beberapa dekad.
Menurut JMA, kelajuan angin adalah pada 198 km/j dan berkemungkinan mencecah sehingga 270 km/j.
Kyushu Selatan dijangka menerima 500mm hujan pada Ahad, manakala wilayah Tokai tengah 300mm berdasarkan ramalan agensi cuaca.
Amaran taufan khas itu akan menjadi amaran pertama seumpama itu untuk mana-mana wilayah di utara rantaian pulau Okinawa.
Kyushu Railway mula menghentikan beberapa laluan kereta api pada Sabtu sebelum penggantungan yang lebih luas pada Ahad.
Beratus-ratus penerbangan hujung minggu di wilayah selatan telah dibatalkan menyebabkan kekeliruan di kalangan penumpang yang melakukan perjalanan pada hujung minggu.
Rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Jepun akan menutup sementara kira-kira 610 kedai di wilayah Kyushu dan Chugoku mulai Sabtu malam.
Ribut itu diramalkan bergerak ke timur dan melepasi Tokyo pada Selasa, sebelum bergerak ke laut menjelang Rabu.