Taufan Milton dijangka landa Florida

Bernama
Oktober 7, 2024 09:40 MYT
Seorang bapa bersama anak-anaknya menyediakan beg pasir untuk diagih kepada penduduk Pinellas County menjelang ketibaan ribut tropika Milton, di Seminole, Florida, AS, 6 Okt 2024. REUTERS
MOSCOW: Ribut tropika Milton kini berubah menjadi taufan dan dilaporkan menuju ke Florida, Amerika Syarikat, menurut laporan Sputnik yang memetik Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS.
Pejabat Gabenor Florida, Ron DeSantis, sehari sebelum itu mengumumkan keadaan darurat di 35 daerah negeri susulan ancaman taufan Milton yang semakin menghampiri.
Menurut pakar meteorologi, Taufan Milton kini membawa angin kencang dengan kelajuan maksimum sekitar 130 kilometer sejam dan bergerak ke arah timur dengan kelajuan kira-kira sembilan kilometer sejam.
Presiden AS, Joe Biden diberi taklimat mengenai situasi ini dan menggesa penduduk Florida untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan Taufan Helene, beliau turut mengumumkan penghantaran tambahan 500 anggota tentera ke Carolina Utara untuk membantu usaha pemulihan dan tindak balas bencana.
Sebelum ini, CNN melaporkan bahawa jumlah kematian akibat Taufan Helene yang melanda tenggara AS pada September lalu, meningkat kepada sekurang-kurangnya 227 orang.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas, juga menyatakan bahawa Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) kini menghadapi kekurangan sumber bagi menangani kesan ribut itu sepanjang baki musim taufan ini.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #ribut tropika Milton #Milton #Florida
;