Taufan Michael menghampiri Florida

Agensi
Oktober 9, 2018 09:39 MYT
Imej Taufan Michael yang diambil melalui satelit pada Isnin. - Foto NOAA/via Reuters
PENDUDUK di persisiran pantai Florida disaran lakukan segala persiapan bagi menghadapi taufan yang mampu mengancam nyawa minggu ini.
Taufan Michael dijangka akan mencapai status kategori tiga sebelum ia membadai Florida pada Rabu dan kemudian bergerak sepanjang Pantai Timur Amerika Syarikat.
Michael, taufan ke-13 musim ini telahpun membadai Cuba dan membawa bersama angin kencang dan hujan lebat.
Menurut pihak berkuasa, North Carolina akan menerima taburan hujan sehingga 7 sentimeter yang boleh menyebabkan banjir kilat.
Ini kerana air yang bertakung akibat Taufan Florence bulan lalu masih belum diserap sepenuhnya.
Ketika ini Michael bergerak dengan kelajuan 120 kilometer sejam dan menghampiri Amerika Syarikat pada kelajuan 11 kilometer sejam.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat di Miami memberi amaran Michael mungkin akan membawa angin kencang dengan kelajuan 180 kilometer sejam pada Selasa malam waktu tempatan.
Beberapa tempat di Florida juga dijangka akan menerima taburan hujan sehingga 30 sentimeter yang akan menyebabkan banjir teruk.
Pada Ahad, Gabenor Florida, Rick Scott mengisytiharkan darurat di 26 daerah di Florida.
"Taufan ini mengancam nyawa dan sangat berbahaya," katanya.
Di Tallahassee pula, pihak berkuasa membuka dua pusat banjir bagi mengedar guni pasir kepada orang ramai.
Sementara itu ribuan penduduk diarah berpindah ke pusat sementara dan lebih 5,000 anggota tentera telah dikerah untuk membantu mangsa.
#angin kencang #Florida #North Carolina #Pusat Taufan Kebangsaan #Taburan hujan #taufan Michael
;