Taufan Matthew ragut hampir 900 nyawa di Haiti
Reuters
Oktober 8, 2016 13:06 MYT
Oktober 8, 2016 13:06 MYT
Angka kematian akibat Taufan Matthew di Haiti kini mencecah 877, dengan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal dan wabak Taun mula menyerang.
Dianggarkan lebih 61,000 orang berada di pusat pelindungan di seluruh negara itu.
Beberapa kawasan perkampungan kecil terputus hubungan akibat taufan itu dan sekurang-kurangnya 175 orang dilaporkan terkorban.
Klinik-klinik desa dipenuhi ratusan penduduk yang cedera sejak Matthew melanda pada Selasa. Sumber makanan sukar didapati dan kira-kira tujuh penduduk maut akibat wabak Taun yang berpunca daripada sumber makanan yang tercemar.
Setakat ini, 17 kes taun telah dilaporkan.
Sistem komunikasi juga terjejas teruk, menyebabkan bantuan lambat tiba.
Taufan Matthew melanda pantai barat negara itu Selasa lalu, membawa angin berkelajuan 145 batu sejam (233 kilometer sejam) dan hujan lebat serta mengakibatkan banjir.