Taufan Mangkhut: Filipina giatkan usaha pemindahan penduduk

Agensi
September 13, 2018 05:16 MYT
Pemerintah FIlipina sudah mengerahkan pasukan keselamatan dan bantuan kecemasan bersiap siaga di lokasi yang dijangka bakal dibadai Mangkhut. - Reuters
Pihak berkuasa Filipina mula memindahkan ribuan penduduk dari kawasan pesisiran pantai pada Khamis menjelang ketibaan taufan besar Mangkhut yang mendekati negara kepulauan itu.
Reuters melaporkan, taufan tersebut bakal membawa angin kencang berkelajuan 205 kilometer sejam.
Taufan Mangkhut, atau Ompong dalam bahasa tempatan, diramal membadai pada awal Sabtu di bahagian utara Pulau Luzon, dan merupakan taufan paling dahsyat daripada 15 bencana seumpamanya yang telah membadai FIlipina sepanjang tahun ini.
Pihak pemerintah sudah menempatkan pasukan perubatan dan darurat di lokasi-lokasi tertentu, selain menggerakkan jentera untuk menyampaikan bantuan bernilai puluhan juta dolar.
Laluan taufan tersebut setelah dipetakan, dijangka turut melanda selatan China dan utara Vietnam.
"Apa yang berlaku kini adalah usaha pemindahan yang digiatkan di beberapa kawasan. Tiada sesiapa dilihat berada di jalanan atau di luar bangunan kerana masing-masing bersedia untuk menghadapinya," ujar Gabenor Cagayan, Manuel Mamba.
Mangkhut mempunyai ukuran diameter kira-kira 900 kilometer, dengan bawaan angin kencang sehingga 255 kilometer sejam.
#evakuasi #Filipina #perpindahan #Taufan Mangkhut
;