Taufan Mangkhut: 14 maut di Filipina
Astro Awani
September 16, 2018 08:17 MYT
September 16, 2018 08:17 MYT
Sekurang-kurangnya 14 maut dalam kejadian ribut kuat yang memusnahkan kawasan utara Filipina susulan Taufan Mangkhut yang membadai negara itu.
Taufan Mangkhut melanda Pulau Luzon di Filipina dan kini bergerak ke arah barat menuju negara China.
Bergerak pada kelajuan 185km/j, taufan itu mengakibatkan bumbung tercabut, pokok tumbang, 42 kejadian tanah runtuh dan banjir teruk.
Kira-kira lima juta penduduk Pulau Luzon berada dalam kawasan terjejas dan ribuan orang telah dipindahkan.
Ketika ini, kerja-kerja pembersihan pasca taufan mula dilakukan di beberapa kawasan yang terjejas.
Menurut pihak berkuasa berkata, kebanyakan yang maut adalah disebabkan tanah runtuh yang kemudiannya menjadi banjir lumpur dan menghanyutkan rumah mereka.
Penasihat Presiden, Francis Tolentino berkata, bayi dan seorang kanak-kanak merupakan antara empat mangsa yang disahkan terbunuh di Nueva Vizcaya, lokasi yang paling teruk terjejas.
Katanya, angka korban diramal akan terus bertambah memandangkan pihaknya banyak menerima laporan mangsa hilang semasa taufan itu melanda kawasan mereka.
Sehingga kini, walaupun ia sudah mula bergerak ke China dan Hong Kong, amaran berpindah terus dikeluarkan kepada 87,000 penduduk yang berisiko berdepan ancaman taufan tersebut.
Amaran itu tidak akan ditarik balik sehingga keadaan dipastikan selamat untuk mereka pulang ke kediaman masing-masing.
Mangkhut, yang juga dipanggil 'ompong' dalam bahasa tempatan, membadai Wilayah Cagayan pada Sabtu dengan membawa bersama angin kencang sehingga 270km/j.
Ia dianggap taufan paling kuat pernah melanda Filipina sejak Haiyan pada 2013, yang membunuh hampir 7,000 orang.