Taufan Mahasen cetus kebimbangan penduduk
Astro Awani
Mei 14, 2013 12:12 MYT
Mei 14, 2013 12:12 MYT
Taufan Mahasen yang diramal membadai Myanmar minggu ini mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan berpuluh ribu pelarian Rohingnya di negara berkenaan.
Menurut jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 70,000 pelarian menghuni kawasan rendah berhampiran pantai terdedah kepada ancaman taufan tersebut.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan hanya 5,000 dipindahkan ke tempat selamat setakat ini.
Pemindahan juga berdepan kesukaran terutamanya dalam menentukan penempatan sesuai dan selamat berikutan sentimen anti Muslim yang masih menyelubungi Myanmar.
Menurut seorang pelarian yang berada di kem pelarian itu, Khin Khin Thant, 42 tempat yang didiami mereka sekarang terlalu merbahaya.
“Kami akan dipindahkan ke lokasi di tepi sebuah kampung. Tiada ada sebarang perlindungan untuk kami. Tempat tersebut amat berbahaya dan menakutkan kami. Jika taufan melanda, tempat itu boleh tenggelam. Semuanya boleh tenggelam,” kata Khin dengan nada yang cemas.
Seorang lagi rakan, Tun Win,46 berkata, kerajaan langsung tidak mengendahkan tentang keselamatan mereka.
“Kami risau tiada sebarang perlindungan di sana. Kerajaan baru saja mengumumkan taufan akan melanda. Tetapi mereka tidak memberikan sebarang bantuan lagi,” jelasnya.
Sebelum Myanmar, Taufan Mahasen dijangka akan melanda Bangladesh pada Khamis atau Rabu.
Menurut jurucakap PBB, lebih 140,000 pelarian Rohingya mendiami kem pelarian selepas keganasan meletus antara puak Buddha dan Muslim tahun lalu.
Pada 2008, lebih 130,000 orang dipercayai menjadi korban Taufan Nargis di Myanmar manakala sejuta orang lagi hilang tempat tinggal.