Taufan Isaias dijangka kembali kuat - Gabenor Florida
Astro Awani
Ogos 2, 2020 12:48 MYT
Ogos 2, 2020 12:48 MYT
TAUFAN Isaias melanda Bahamas pada Sabtu, mengakibatkan kejadian pokok tumbang serta bekalan elektrik terputus, sebaik sahaja ia mula membadai pantai Florida.
Taufan berkenaan dijangka memburukkan lagi keadaan masyarakat di kawasan itu yang sebelum ini sudah terjejas akibat ribut terdahulu, yang turut membawa penyakit, memaksa kebanyakan mereka mendapatkan perlindungan di Pulau Grand Bahama.
Agensi tempatan sebelum ini melaporkan, pulau itu terpaksa ditutup (lockdown) minggu lepas setelah ia disenarai sebagai antara lokasi panas kerana lonjakan penularan kes COVID-19.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Bahamas Hubert Minnis melonggarkan sekatan susulan kejadian ribut, tetapi mengenakan perintah berkurung dari jam 10 malam hingga 5 pagi.
Ribut tersebut diramalkan akan mendekati pantai tenggara Florida pada awal pagi Ahad waktu tempatan dan bergerak di sepanjang pantai di timur negeri itu sepanjang hari.
Sementara itu, Gabenor Florida Ron Desantis memberi amaran bahawa kekuatan Taufan Isaias dijangka kembali meningkat di kawasan itu.
Jelasnya, biarpun ia kelihatan seperti semakin reda, langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk sebarang kemungkinan impak daripada taufan terbabit.
Kawasan itu sebelum ini pernah dilanda Taufan Dorian tahun lalu, menyebabkan kerosakan teruk.
Ombak dan angin kencang berpotensi mendatangkan ancaman banjir di kawasan dataran rendah, di mana ramai penduduk yang masih tinggal di rumah yang rosak akibat ribut dahsyat tahun lalu.
#angin kencang
#Bahamas
#banjir
#elektrik terputus
#Florida
#Hubert Minnis
#kerajaan
#koronavirus
#menteri
#Perdana Menteri
#Pokok tumbang
#ribut
#Ron Desantis
#rumah
#taufan
#Taufan Isaias