Taufan Helene: Sampah sarap penuhi sepanjang jalan menuju pusat mengundi Asheville

Agensi
November 2, 2024 13:17 MYT
Timbunan sisa sampah, kaca dan kotak memenuhi sepanjang jalan raya menuju salah sebuah lokasi pusat mengundi utama di Asheville berikutan Taufan Helene pada Jumaat. - Foto Reuters
ASHEVILLE: Timbunan sisa sampah, kaca dan kotak memenuhi sepanjang jalan raya menuju salah sebuah lokasi pusat mengundi utama di Asheville susulan Taufan Helene yang melanda pada Jumaat.
Perkara ini disahkan pegawai kawasan pilihan raya presiden Amerika Syarikat di Asheville, Teri Gentile yang memaklumkan pihaknya juga memastikan pusat mengundi beroperasi semula.
Ia termasuk kemudahan tandas mudah alih dan membawa masuk tangki air yang besar.
Menurutnya lagi, pihaknya mempunyai kakitangan yang bekerja hampir lima jam setengah dalam satu jadual kerja dan kemudian lima atau enam jam pada sesi berikutnya.
Tambahnya lagi, kesemua kakitangan perlu dapat mengakses kemudahan air yang sangat penting.
Pilihan raya presiden antara calon Demokrat, Kamala Harris dan Republikan, Donald Trump semakin sengit dalam minggu terakhir yang mana tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan Harris mendahului Trump dengan 44 peratus berbanding 43 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar di seluruh negara.
Dalam tempoh yang genting ini, kedua-dua pemimpin dilihat mempergiatkan usaha bagi mendapatkan sokongan rakyat di negeri bahagian barat yang menjadi medan pertarungan penting dengan memfokuskan kepada isu imigresen dan menarik sokongan pengundi dalam kalangan komuniti Latin.
Undian bagi pilihan raya tahun ini turut menunjukkan jurang jantina yang luas dengan pengundi wanita cenderung memberi sokongan kepada Harris manakala Trump memperoleh lebih banyak sokongan daripada golongan lelaki.
#Kamala Harris #Taufan Helene #Donald Trump #pilihan raya presiden #Amerika Syarikat
;