Taufan Helene: Hampir 100 orang masih hilang di Carolina Utara

Bernama
Oktober 16, 2024 22:00 MYT
Seramai 92 orang masih hilang atau tidak ditemukan di Carolina Utara ketika negeri di Amerika Syarikat (AS) itu menangani kesan daripada Taufan Helene, kata gabenor negeri itu. - Gambar REUTERS
ISTANBUL: Seramai 92 orang masih hilang atau tidak ditemukan di Carolina Utara ketika negeri di Amerika Syarikat (AS) itu menangani kesan daripada Taufan Helene, kata gabenor negeri itu.
"Saya ingin memberi amaran bahawa ini bukan kiraan muktamad kerana pasukan petugas masih meneruskan usaha mereka," kata Gabenor Carolina Utara Roy Cooper sambil menambah bahawa jumlah ini akan berubah-ubah seiring dengan laporan baharu yang diterima, lapor Agensi Anadolu memetik NBC News.
Ribut itu yang melanda pada 26 September telah meragut sekurang-kurangnya 118 nyawa di Carolina Utara, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 243 kematian di beberapa negeri.
Banjir besar dan tanah runtuh telah mengasingkan seluruh bandar, menyukarkan usaha pemulihan.
Cooper turut menekankan bahaya yang ditimbulkan oleh maklumat palsu yang telah mencetuskan ancaman terhadap pasukan penyelamat persekutuan.
Pentadbir FEMA Deanne Criswell mengecam sikap bermusuhan terhadap pekerja bantuan, dengan berkata: "Sangat menyedihkan melihat kata-kata atau tindakan kebencian terhadap sesiapa pun, apatah lagi terhadap penyelamat persekutuan."
Beliau menegaskan bahawa maklumat salah tidak akan menghalang misi FEMA untuk membantu mereka yang memerlukan, dengan lebih 2,000 pekerja persekutuan terus komited terhadap usaha pemulihan di negeri itu.
-- BERNAMA
#Taufan Helene #hilang #Carolina Utara #Amerika Syarikat
;