Taufan hampiri timur Tokyo, ganggu perjalanan percutian
Bernama
Ogos 16, 2024 20:50 MYT
Ogos 16, 2024 20:50 MYT
TOKYO: Sistem pengangkutan Jepun, termasuk kereta api laju Shinkansen menghadapi gangguan meluas dan banyak tempat pelancongan lengang apabila taufan kuat menghampiri timur Tokyo pada Jumaat, menjelang penghujung cuti musim panas Bon.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran mengenai angin kencang, tanah runtuh, ombak tinggi, dan banjir, sambil meramalkan hujan lebat di kawasan timur sekitar Tokyo dan timur laut, lapor agensi berita Kyodo.
Pada pukul 6 petang Jumaat, Taufan Ampil berada kira-kira 160 kilometer di selatan-tenggara Choshi di Wilayah Chiba. Taufan itu bergerak ke arah utara-timur laut dengan kelajuan 15 kilometer sejam, menurut agensi cuaca itu.
Ia mempunyai tekanan atmosfera 950 hectopascal di pusatnya dan membawa angin dengan kelajuan sehingga 216 kilometer sejam.
Central Japan Railway menggantung semua perkhidmatan kereta api laju Tokaido Shinkansen antara Tokyo dan Nagoya di tengah Jepun sepanjang hari, dengan bidai ditutup di pintu tiket Stesen Tokyo.
"Saya telah menempah tempat duduk di kereta api laju tetapi terpaksa menaiki bas malam sebagai ganti. Saya penat," kata seorang pelajar universiti berusia 20 tahun dari Osaka yang melawat Tokyo bersama rakannya.
Di luar Nagoya, pengendali kereta api mengehadkan jumlah kereta api dari dan ke Shin-Osaka di barat Jepun.
East Japan Railway membatalkan beberapa perkhidmatan kereta api laju di sebahagian laluan Tohoku, Joetsu, dan Yamagata pada petang Jumaat. Syarikat itu menyatakan bahawa perkhidmatan akan kembali normal pada Sabtu.
Japan Airlines dan All Nippon Airways berkata mereka membatalkan kira-kira 650 penerbangan antarabangsa dan domestik dari dan ke Lapangan Terbang Haneda dan Narita di Tokyo, menjejaskan kira-kira 120,000 penumpang.
Di Wilayah Chiba dekat Tokyo, beberapa kompleks komersial, termasuk gedung Sogo, ditutup.
Disneyland Tokyo dan DisneySea Tokyo di wilayah itu ditutup pada pukul 3 petang, enam jam lebih awal daripada jadual, menurut pengendali Oriental Land.
Sebuah rumah penginapan gaya Jepun, atau ryokan, di Chiba, yang rosak akibat taufan pada 2019, membatalkan semua tempahan Jumaatnya walaupun telah penuh ditempah.
"Pelanggan akan menghadapi masalah jika berlaku gangguan seperti bekalan elektrik terputus," kata Kensuke Takao, presiden pengendali ryokan berkenaan.
Di Daerah Asakusa, Tokyo, tanglung merah besar di Pintu Gerbang Kaminarimon dilipat untuk mengelakkannya daripada rosak akibat angin kencang.
"Walaupun ini musim puncak untuk perniagaan saya, pelanggan sangat sedikit," kata seorang penarik beca berusia 40-an.
Kentaro Sanada, seorang pekerja di restoran tempura berdekatan yang ditutup pada pukul 3.30 petang, lebih awal daripada waktu penutupan biasa pada 9 malam, berkata: "Ada risiko pelanggan mungkin tidak dapat pulang. Tiada apa yang boleh kita lakukan mengenai cuaca."
Dalam tempoh 24 jam dari pukul 6 petang Jumaat, Taufan Ampil dijangka menurunkan 200 milimeter hujan di Wilayah Kanto-Koshin, yang termasuk Tokyo, dan Wilayah Tohoku.
Taufan itu dijangka bergerak ke arah timur menuju ke laut di sebelah timur wilayah timur laut Jepun pada Sabtu.
--BERNAMA-KYODO