Taufan Florence: Pelbagai spesies marin, haiwan di pusat akuarium ditinggalkan begitu saja
Agensi
September 13, 2018 05:11 MYT
September 13, 2018 05:11 MYT
Dari penyu ke ikan, penghuni pelbagai spesies di dua taman akuarium di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan Taufan Florence tanpa ditemani manusia, selepas para penjaga pusat tarikan umum tersebut dipaksa berpindah segera atas arahan mandatori.
Taufan yang berkekuatan Kategori 3 pada skala Saffir-Simpson itu kini terus terbentuk dan dijangka membadai North Carolina lewat Khamis atau awal Jumaat.
Media tempatan melaporkan, bencana alam itu berpotensi tinggi mencetus gelombang tinggi di lautan selain banjir besar yang memusnahkan.
Penjaga haiwan di dua daripada tiga pusat akuarium utama negeri itu tidak ada pilihan lain kecuali meninggalkan kawasan tersebut pada Rabu selepas membuat persediaan saat akhir.
“Haiwan-haiwan itu adalah sebahagian daripada keluarga kami. Untuk menutup tempat ini dan tidak mengetahui akan nasib haiwan-haiwan itu sangat membuatkan kami emosional,” ujar Danielle Bolton, jurucakap di Akuarium Pine Knoll Shores yang sudahpun ditutup pada Selasa lalu.
Dua lagi pusat seumpamanya, North Carolina Aquarium di Fort Fisher, di Roanoke Island, para pekerja tempat itu sudah sedaya upaya melindungi pelbagai spesies marin di situ.
“Para pekerja sangat bimbang tentang apa yang akan terjadi. Secara jelas tempat ini terletak dekat dengan pesisiran pantai, dengan sebahagian daripada bangunan berusia 40 tahun iaitu sejak 1976,” ujar jurucakap Robin Nalepa, yang khuatir pada nasib pelbagai jenis ikan, jerung, penyu dan reptilia lain di pusat tersebut.
Sebelum pusat akuarium itu ditinggalkan, para petugas membuat senarai semak tentang langkah keselamatan untuk haiwan-haiwan tersebut berdepan impak taufan.
Beberapa spesies telah dipindahkan ke bahagian yang lebih terlindung, paras air dipastikan mencukupi dan mesin janakuasa dibiar terpasang untuk membekal oksigen ke dalam air.