Taufan Fiona melanda Puerto Rico, dua maut

Astro Awani
September 20, 2022 10:00 MYT
Sebuah bot yang terkandas di pantai selepas Taufan Fiona membadai Puerto Rico pada Isnin. - Foto REUTERS
PUERTO RICO: Sekurang-kurangnya dua maut di Puerto Rico selepas Taufan Fiona membadai kawasan itu mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.
Seramai 3.3 juta penduduk di wilayah Caribbean Amerika Syarikat itu turut dilaporkan terputus bekalan elektrik.
Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki berusia 58 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas dibawa arus deras di Comerio manakala seorang lagi berusia 30 tahun maut dalam kebakaran.
Hujan lebat diramal akan terus melanda beberapa kawasan di pulau berkenaan.
Presiden Joe Biden turut mengisytiharkan keadaan darurat di Puerto Rico bagi membolehkan bantuan kecemasan disalurkan segera.
Kira-kira 600 anggota tentera National Guard melakukan operasi mencari dan menyelamat di seluruh pulau berkenaan dan setakat ini kira-kira 1,000 mangsa berjaya diselamatkan.
Taufan kategori 1 itu merekodkan kelajuan angin sehingga 140 kilometer sejam sebelum beralih kepada Republik Dominika.
Seorang lelaki dilaporkan terkorban di Guadeloupe selepas rumahnya dihanyut arus deras.
Kesemua penerbangan dari dan keluar Puerto Rico telah dibatalkan.
Beberapa pelabuhan dan jalan raya turut ditutup manakala sebuah jambatan di Utuado dihanyutkan air banjir.
Gabenor Puerto Rico mengumumkan semua sekolah dan agensi kerajaan ditutup pada Isnin.
Taufan Fiona melanda Puerto Rico lima tahun selepas Taufan Maria, taufan terburuk yang pernah melanda wilayah itu dalam sejarah, mengakibatkan kemusnahan meluas.
#Taufan Fiona #banjir #tanah runtuh #darurat
;