Taufan Filipina: Lebih 20 juta penduduk terkesan, jambatan runtuh sukarkan misi Mercy

Irfan Faruqi
November 19, 2024 15:01 MYT
Beberapa siri ribut dan taufan yang melanda Filipina sejak sebulan yang lalu telah memusnahkan kediaman dan infrastruktur awam. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Lebih 20 juta penduduk di Filipina terkesan akibat enam siri taufan yang berlaku di Filipina dalam tempoh lebih sedikit daripada sebulan, yang telah menyebabkan laluan hubungan darat terputus dan menyukarkan misi bantuan.

Ringkasan AI
  • Jumlah Penduduk Terjejas: Lebih 20 juta penduduk Filipina terkesan akibat enam siri taufan dalam tempoh lebih sedikit daripada sebulan, termasuk 9 juta yang terkesan secara langsung.
  • Kerosakan Infrastruktur: Taufan-taufan ini menyebabkan kerosakan besar pada harta benda dan infrastruktur, dengan nilai kerugian mencapai ratusan juta Dolar Amerika. Banyak bangunan, jambatan, dan jalan raya rosak teruk.
  • Kesan Perubahan Iklim: Skala kerosakan tahun ini lebih parah berbanding tahun-tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh perubahan iklim global yang semakin ketara.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata daripada enam siri taufan tersebut empat merupakan ribut tropika, manakala dua lagi merupakan taufan kategori lima yang dikenali sebagai taufan Usagi dan taufan Man-Yi.
"Ini menyebabkan kerosakan harta benda dan infrastruktur yang sangat banyak dengan nilai kerugian sehingga ratusan juta dolar Amerika. Belum ada kiraan muktamad, kiraan masih diteruskan.
“Sekurang-kurangnya sembilan juta rakyat Filipina terkesan secara langsung termasuk 500,000 orang pada Ahad lalu. Lebih 20 juta penduduk yang terkesan secara tidak langsung termasuk kanak-kanak yang tidak boleh bersekolah.
“Kerosakan berlaku pada banyak infrastruktur termasuk bangunan, jambatan dan jalan raya. Filipina merupakan sebuah negara kepulauan dan terdapat banyak sungai, yang memerlukan banyak jambatan untuk hubungan darat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Buletin AWANI pada Selasa.
Menurut Ahmad Faizal lagi, insiden bencana tahun ini sedikit luar biasa memandangkan skala kerosakan adalah jauh lebih parah berbanding tahun-tahun sebelumnya akibat kesan perubahan iklim dunia.
“Kita tahu Filipina merupakan sebuah negara yang setiap tahun dilanda taufan disebabkan kedudukan geografinya yang berada di barat Lautan Pasifik.
“Ini menyebabkan negara berkenaan menerima pukulan badai dan taufan daripada Lautan Pasifik yang disebabkan oleh perubahan suhu.
“Lebih teruk lagi apabila tahun ini bencana itu terkesan dengan krisis perubahan iklim di seluruh dunia. Tahun ini lebih ketara,” ujarnya.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) dalam kemas kini pada Isnin melaporkan 295,576 keluarga ditempatkan di 3,358 pusat pemindahan di enam wilayah.
Keluarga itu mewakili seramai 1,145,942 orang dari Wilayah 1, 2 dan 3, Mimaropa, Wilayah 5, dan Wilayah Pentadbiran Cordillera (CAR).
Menurut agensi berkenaan, 104,830 keluarga atau 446,177 orang sedang dibantu di 2,717 pusat pemindahan manakala 66,681 keluarga atau 238,894 individu sedang dibantu di luar pusat pemindahan.
Sementara itu, jumlah rumah yang dilaporkan rosak akibat tiga taufan itu adalah sebanyak 7,838 buah dan kerosakan ini direkodkan di Wilayah 1, 2, 3, dan CAR.
Daripada jumlah itu, 7,401 rumah diklasifikasikan sebagai "rosak sebahagian" manakala 437 lagi dilabelkan sebagai "musnah".
Misi kemanusiaan Malaysia pasca taufan di Filipina
#Filipina #MERCY #Usagi #Pepito #Man-Yi
;