Taufan Fengal ragut 19 nyawa di India, Sri Lanka
Astro Awani
Disember 1, 2024 07:50 MYT
Disember 1, 2024 07:50 MYT
COLOMBO: Seramai 19 orang maut di India dan Sri Lanka akibat dibadai Taufan Fengal yang menyebabkan banjir di negeri Tamil Nadu dan wilayah Puducherry selepas menyeberangi pantai selatan India dari Teluk Benggala.
Pejabat cuaca India dalam catatan di media sosial meaklumkan, Puducherry dilanda hujan selama 24 jam yang merekodkan paling lebat dalam tempoh 30 tahun.
Gara-gara Taufan Fengal, sebahagian bandar Chennai di selatan ditenggelamkan air.
Pihak berkuasa lapangan terbang India berkata, penerbangan dari bandar itu digantung buat sementara waktu pada Ahad, tetapi disambung semula pada sebelah tengah hari.
Visual dalam media tempatan menunjukkan angin kencang dan hujan lebat dengan jalan raya ditenggelamikan air dan bot digunakan untuk menyelamatkan orang ramai.
Di Sri Lanka, seramai 16 orang terbunuh dengan hujan lebat menjejaskan sejumlah 138,944 keluarga, berdasarkan data terkini dari pusat pengurusan bencana di Colombo.
Sementara itu, Pusat Pengurusan Bencana (DMC) melaporkan hampir 480,000 penduduk di Sri Lanka terjejas akibat cuaca buruk yang melanda sejak 22 November lalu.
Menerusi kemas kini terbaharu, DMC memaklumkan seramai 479,871 individu daripada 142,624 keluarga terjejas, dengan 17 kematian dan 20 kecederaan dilaporkan.
Jabatan Meteorologi Sri Lanka menyatakan ribut siklon di barat daya Teluk Bengal berada kira-kira 420 kilometer (km) di utara Trincomalee di timur Sri Lanka dan kira-kira 290km di utara Kankesanthurai di utara negara ini.
Ia semakin lemah ketika memasuki India dan pengaruhnya terhadap Sri Lanka turut semakin berkurangan.