Taufan Eta membadai Nicaragua, ribuan penduduk terjejas
Agensi
November 3, 2020 19:32 MYT
November 3, 2020 19:32 MYT
BILWI: Pakar kaji cuaca meramalkan, Taufan Eta berpotensi mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh ketika ia menuju ke Amerika Tengah.
Menurut Pusat Taufan Nasional Amerika Syarikat, Eta merupakan ribut Kategori 4 dengan angin kencang maksimum 150 kilometer sejam.
Ia berpusat sekitar 75 kilometer di timur Bilwi, Puerto Cabezas, Nicaragua, dan bergerak ke barat daya pada kelajuan 7 kilometer sejam.
Penduduk luar pesisir pantai dibawa ke tempat perlindungan di Bilwi, bandar utama Wilayah Autonomi Caribbean Utara yang menampung sekitar 66,000 orang.
Pengarah Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional memberitahu, sebahagian besar Bilwi musnah dan kira-kira 3,000 keluarga dari kawasan sekitar dipindahkan ke tempat perlindungan.
Kekuatan Eta meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 24 jam, dari 40 kilometer sejam pada pagi Ahad hingga 120 kilometer sejam pada tengah hari Isnin.