Taufan Dorian landa Bahamas, penduduk Florida dan Carolina bersiap sedia
Astro Awani
September 1, 2019 06:55 MYT
September 1, 2019 06:55 MYT
Taufan Dorian meningkat menjadi ribut Kategori 5 ketika memasuki Bahamas.
Ia dijangka membadai pulau itu dengan hujan lebat selama dua hari, ombak tinggi dan angin kencang sebelum bergerak ke Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Bahamas Dr Hubert Minnis dalam kenyataannya di Twitter berkata beliau amat bersedih ketika memaklumkan berita buruk itu kepada rakyatnya.
"Hari ini mungkin paling sedih dan dahsyat untuk saya maklumkan kepada sekalian warga Bahamas.
"Kita sedang berdepan taufan yang tidak pernah kita saksikan di Bahamas. Doakan kami," kata Minnis.
Beliau bagaimanapun terkilan dengan sikap segelintir penduduk yang tidak mengendahkan nasihat dan amaran yang dikeluarkan lebih awal untuk berpindah.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) yang beribu pejabat di Miami berkata kekuatan angin 160 kilometer sejam (km/j) dicatat awal hari Isnin pada kedudukan 55 kilometer ke timur Abaco.
Selepas menuju ke Bahamas, ia dijangka bergerak ke barat laut namun tidak akan melanda Florida secara langsung.
Selain Florida, NHC memberi amaran ribut Kategori 5 itu akan menjejaskan jutaan penduduk di Carolina Utara dan Carolina Selatan.
Sementara itu, Pentadbiran Aeronatik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) memaparkan imej Taufan Dorian yang membadai Bahamas.
Ribut Kategori 5 itu bergerak ke arah barat pada kelajuan 13 km/j.
Pihak berkuasa berkata ribut itu berpotensi membawa kepada risiko ancaman nyawa dengan kemusnahan harta benda yang teruk.