Taufan Doksuri landa timur China

Bernama
Julai 28, 2023 17:45 MYT
Taufan Doksuri, taufan kelima tahun ini mendarat di wilayah Fujian di timur China pada pagi Jumaat, membawa bersama angin kencang dan hujan lebat. -AP
FUZHOU: Taufan Doksuri, taufan kelima tahun ini mendarat di wilayah Fujian di timur China pada pagi Jumaat, membawa bersama angin kencang dan hujan lebat, lapor Xinhua.
Taufan itu melanda kawasan pantai di bandar Jinjiang pada 9.55 pagi, membawa angin ribut sehingga 50 meter sesaat, menurut biro meteorologi Fujian.
Doksuri dijangka bergerak ke arah barat laut sebelum kekuatannya berkurang secara beransur-ansur.
Sementara itu, di Beijing, balai cerap negara China memperbaharui amaran merah untuk Taufan Doksuri, amaran paling bahaya dalam sistem amaran empat peringkatnya, kerana ia dijangka membawa angin ribut dan hujan lebat ke bahagian timur dan selatan negara itu.
Beberapa kawasan pantai di sekitar Selat Bashi, Laut China Selatan dan Selat Taiwan, serta kawasan pantai Taiwan, Fujian, Zhejiang dan Guangdong akan mengalami angin ribut dari pagi Jumaat hingga 8 pagi Sabtu, menurut pusat itu.
Dalam tempoh ini, sebahagian wilayah wilayah Jiangsu, Anhui, Zhejiang, Fujian, Jiangxi dan Taiwan akan mengalami hujan lebat dan beberapa kawasan di Zhejiang dan Fujian akan mengalami hujan lebat 250 hingga 280 milimeter (mm), kata pusat itu.
Pusat itu telah mengeluarkan nasihat untuk menangguhkan perhimpunan dalam dan luar serta operasi luar yang berbahaya selain mengesyorkan pemindahan penduduk yang tinggal di kawasan terdedah.
Ia juga menyeru kepada persediaan taufan kecemasan dan langkah berjaga-jaga terhadap bencana.
China mempunyai sistem amaran cuaca dengan kod warna empat peringkat- merah mewakili amaran paling berbahaya, diikuti oren, kuning dan biru.
Kementerian Pengangkutan telah mengaktifkan tindak balas taufan tahap satu, yang tertinggi seumpamanya.
Setakat 8 pagi Jumaat, tiada laporan kerosakan lebuh raya akibat taufan atau kesesakan lalu lintas berskala besar, kata kementerian itu.
Semua lebuh raya di Xiamen, Zhangzhou dan Quanzhou di Fujian telah ditutup buat sementara waktu, tambah kementerian itu.
-- BERNAMA
#Doksuri #Fujian #hujan lebat #angin kencang
;