Taufan Bebinca dijangka hampiri Pulau Okinawa, Amami Jepun hujung minggu ini

Bernama
September 12, 2024 22:18 MYT
Taufan Bebinca dijangka menghampiri pulau selatan Jepun, Okinawa, dan kawasan Kepulauan Amami di barat dayanya hujung minggu ini. - Gambar fail/REUTERS
TOKYO: Taufan Bebinca dijangka menghampiri pulau selatan Jepun, Okinawa, dan kawasan Kepulauan Amami di barat dayanya hujung minggu ini, dengan agensi cuaca pada Khamis memberi amaran mengenai tanah runtuh dan banjir, lapor Agensi Berita Kyodo.
Taufan ke-13 musim ini mungkin membawa angin kencang dan laut bergelora ke beberapa kawasan, menurut Agensi Meteorologi Jepun, yang turut menggesa penduduk berwaspada terhadap ribut, air pasang besar, dan paras air sungai yang meningkat.
Agensi itu juga menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan aktiviti luar yang tidak penting dan menjauhkan diri daripada tingkap ketika berada di dalam rumah, kerana angin kencang boleh menyebabkan tiang utiliti dan bahagian bangunan runtuh.
Setakat pukul 6 petang, taufan itu bergerak ke arah utara-barat laut pada kelajuan kira-kira 25 kilometer sejam (kmj), di sebelah timur Filipina, dengan kelajuan angin mencecah sehingga 126 kmj dan tekanan atmosfera 990 hectopascal di pusatnya, menurut agensi itu.
-- BERNAMA
#Taufan Bebinca #Jepun #Amami #hujung minggu
;