Tatmadaw perlu terus diberi tekanan tamatkan keganasan di Myanmar - Vivian Balakrishnan
Bernama
Mei 10, 2023 12:32 MYT
Mei 10, 2023 12:32 MYT
SINGAPURA: Angkatan Tentera Myanmar Tatmadaw mesti terus diberikan tekanan supaya menghentikan keganasan dan segera melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) dengan sepenuhnya, kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Balakrishnan berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan mengenai tindak balas ASEAN terhadap situasi di Myanmar, di Parlimen.
Soalan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Christopher de Souza yang mahukan penjelasan apakah langkah yang diambil oleh kepimpinan ASEAN memandangkan keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia masih berterusan dan semakin meningkat di Myanmar.
Menteri itu berkata negara jiran di luar ASEAN dan rakan kongsi luar, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), turut mempunyai peranan penting bagi menangani krisis dan membantu mengembalikan keamanan di Myanmar menerusi kerjasama dengan ASEAN.
Faktor yang menyekat kemajuan dalam pelaksanaan 5PC bukanlah ASEAN atau rakan kongsi luarnya sebaliknya ia berpunca daripada pihak berkepentingan dalam Myanmar terutamanya Tatmadaw.
5PC menyeru agar keganasan di negara ini dihentikan segera; dialog antara semua pihak; pelantikan utusan khas; bantuan kemanusiaan oleh ASEAN; dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu semua pihak.
Balakrishnan menegaskan bahawa Singapura menyokong kenyataan Pengerusi ASEAN Indonesia baru-baru ini, yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara oleh tentera Myanmar di Wilayah Sagaing, Myanmar pada 11 April 2023.
"Singapura menyokong kenyataan itu. Sebarang serangan terhadap orang awam patut dikeji dan tidak boleh dibiarkan," katanya.
Balakrishnan berkata tindakan keganasan seperti itu bercanggah dengan 5PC yang dirumuskan oleh Pemimpin ASEAN dan diterima oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dalam mesyuarat pada 24 April 2021 di Jakarta.
"Memandangkan kemajuan yang terhad dalam pelaksanaan 5PC, para Pemimpin di Sidang Kemuncak ASEAN pada November 2022 bersetuju dengan pelaksanaan beberapa langkah sebagai isyarat jelas kepada Tatmadaw," katanya.
Menurut Balakrishnan, Indonesia telah melibatkan pihak berkepentingan untuk menggalakkan dialog inklusif di Myanmar.
"Ia menyeru agar keganasan dihentikan dan mengambil langkah untuk memudahkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar," katanya.
-- BERNAMA