Tarikh penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2021 akan ditentukan minggu ini

Agensi
Mac 30, 2020 17:19 MYT
Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo sebelum ini mengumumkan penundaan temasya Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo pada tahun hadapan susulan penularan wabak COVID-19. - Gambar fail
PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Tokyo 2020, Yoshiro Mori berkata, tarikh Sukan Olimpik Tokyo 2021 yang ditunda akan ditentukan dalam minggu ini.
Menurut Mori, tarikh penundaan yang dicadangkan adalah pada musim bunga atau musim panas tahun hadapan.
"Cadangan dari kedua-dua belah pihak sudah dikumpulkan, sama ada musim bunga atau musim panas. Tentunya terdapat baik dan buruk bagi tarikh-tarikh yang dicadangkan itu dan semua itu kami pertimbangkan kemudian akan diputuskan.
"Cadangan ini juga sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach. Kami akan mendapatkan keputusan dari beliau dalam minggu ini," katanya.
BACA: OCA, MOM sokong keputusan IOC, kerajaan Jepun tangguh Sukan Olimpik 2020
Jelasnya lagi, sebarang keputusan yang dicapai turut merangkumi IOC, penganjur tempatan dan ratusan penaja, persekutuan sukan dan rakan-rakan media.
BACA: COVID-19: Sukan Olimpik dan Paralimpik ditangguh setahun
Sebelum ini, Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo mengumumkan penundaan temasya Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo pada tahun hadapan susulan penularan wabak COVID-19.
#Jawatankuasa Olimpik Tokyo 2020 #musim bunga #musim panas #tunda #Yoshiro Mori
;