Tarikh pengundian baru diumum bagi kawasan yang terganggu di Thailand
Bernama
Mac 3, 2014 09:15 MYT
Mac 3, 2014 09:15 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand dijangka menetapkan pada Khamis tarikh bagi pengundi yang tidak dapat mengundi dalam pilihan raya umum semalam serta mereka yang mendaftar dalam pengundian awal pada 26 Jan lepas.
Pengundian awal itu di kebanyakan kawasan dan hampir 11 peratus dari pusat pengundian dalam pilihan raya umum semalam dibatalkan akibat gangguan oleh demontrasi anti-kerajaan di samping ketidakhadiran pegawai-pegawai di pusat mengundi.
Pesuruhajaya SPR Somchai Srithiyakorn, berkata mesyuarat suruhanjaya Khamis ini akan membincangkan isu pengundian dan akan mengumumkan tarikh baharu pengundian itu.
Beliau berkata pengundian baharu tidak dapat diadakan dalam tempoh tujuh hari sebagaimana diminta oleh sesetengah ahli politik oleh kerana SPR mempunyai banyak urusan untuk diselesaikan.
Antaranya, kata beliau, SPR perlu mengesan petugas pusat pengundian, mencetak kertas undi dan mencari tempat untuk dijadikan pusat mengundi.
Somchai menyatakan hal ini di sidang akhbar bersama Chalerm Yubamrung, Menteri Buruh sementara yang bertanggungjawab bagi Pusat Memelihara Keamanan dan Ketenteraman (CMPO) berhubung masalah keselamatan bagi pengundian baharu.
Thailand mengadakan pengundian dalam pilihan raya umumnya pada Ahad tetapi pengundian di 77 wilayahnya dibatalkan dan di sembilan wilayah lain pengundian dibatalkan di beberapa pusat mengundi.
Sementara itu, konflik politik Thailand terus berlaku dengan pemprotes anti-kerajaan hari ini mengenakan tekanan lebih kuat ke atas Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra supaya meletak jawatan dan pembaharuan politik dilaksanakan dalam negara.
Sekalipun negara telah dapat mengadakan pilihan raya umum yang paling sukar dalam sejarahnya semalam, penyokong Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) tidak menunjukkan tanda-tanda yang mereka akan meninggalkan tempat demonstrasi dan menghentikan protes jalanan.
Sebaliknya, mereka hari ini menyasarkan pejabat Setiausaha Tetap bagi Pertahanan yang menempatkan pejabat sementara Yingluck.
Seorang ketua protes yang tidak dikenali mengutuk kerajaan sementara Yingluck sebagai telah 'menyimpang' dan mendesak beliau meletak jawatan.
Semasa demonstrasi, peserta lelaki memotong kawat duri, sementara wanita memasuki perkarangan, menghulurkan air minuman kepada askar yang bertugas, kemudian kembali menyertai kumpulan penunjuk perasaan.
Protes bermula tengah hari dan kekal di lokasi berkenaan di kebanyakan masa sebelah tengah hari.