Tarif AS ke atas keluli, aluminium cetus tentangan hebat di seluruh Eropah

Bernama
Februari 12, 2025 18:39 MYT
Keputusan Trump untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium yang memasuki negara itu mencetuskan tentangan di Eropah. - Gambar/ Reuters
BRUSSELS: Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium yang memasuki negara itu, tanpa mengira negara asal, telah mencetuskan tentangan hebat di seluruh Eropah, lapor Xinhua.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Selasa memberi amaran bahawa tarif AS terhadap import keluli dan aluminium dari Kesatuan Eropah (EU) "akan mencetuskan tindakan balas yang tegas dan setimpal."
"Tarif yang tidak berasas ke atas EU tidak akan dibiarkan begitu sahaja," kata von der Leyen dalam satu kenyataan. "EU akan bertindak untuk melindungi kepentingan ekonominya. Kami akan melindungi pekerja, perniagaan dan pengguna kami."
Bercakap di hadapan ahli Parlimen Eropah (MEP) di Strasbourg pada Selasa, Pesuruhjaya Eropah bagi Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi Maros Sefcovic berkata EU akan bertindak balas terhadap tarif AS dengan "tegas dan setimpal."
"Pada pandangan kami, tarif ini tidak berasas kerana ia akan menyebabkan kenaikan harga dan inflasi," katanya. Menyifatkan langkah itu sebagai "senario kalah-kalah," beliau memberi amaran bahawa tarif berkenaan adalah "tidak produktif dari segi ekonomi."
Canselor Jerman Olaf Scholz mengulangi pendirian EU berhubung tindakan balas. "Jika AS tidak memberi kami pilihan lain, EU akan bertindak balas dengan pendirian yang bersatu," katanya dalam ucapan di Bundestag pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran agar tidak meningkatkan ketegangan. "Saya berharap kita dapat mengelak daripada terjerumus ke dalam kancah tarif dan tindakan balas, kerana perang dagang akhirnya akan merugikan kemakmuran di kedua-dua pihak," katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tarif AS mungkin diperluaskan ke sektor lain selain keluli dan aluminium, yang boleh menjejaskan Jerman sebagai ekonomi pengeksport terbesar di Eropah.
Dirk Jandura, presiden Persekutuan Pemborong, Perdagangan Luar dan Perkhidmatan Jerman (BGA), dalam satu kenyataan berkata sekiranya tarif Trump dikuatkuasakan, EU mesti bertindak dengan pendirian yang bersatu. Beliau memberi amaran bahawa perang dagang boleh membawa akibat yang "fatal".
Perdana Menteri Poland Donald Tusk pada Selasa berkata Poland sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan kesan tarif AS. "Kita perlu melakukan segala usaha untuk mengelak perang perdagangan dan kastam yang tidak perlu, kerana ia akan membawa kesan negatif kepada pengeluar dan pengguna," katanya sebelum mesyuarat kerajaan.
Menteri Perindustrian dan Perdagangan Czech Lukas Vlcek dalam satu kenyataan kepada media tempatan pada Selasa menegaskan bahawa Eropah perlu bertindak secara bersatu dalam menghadapi tarif AS. Memandangkan saiz perdagangan EU dengan AS, perang tarif tidak akan menguntungkan sesiapa, katanya.
Perdana Menteri Slovakia Robert Fico dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin malam berkata pengenaan tarif kastam tinggi terhadap keluli dan aluminium dari Eropah adalah manifestasi ketidakpercayaan Trump terhadap kekuatan EU, yang tidak dihormatinya.
Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fabrizio Hochschild memberitahu Xinhua bahawa pusingan baharu dasar perlindungan AS boleh menjejaskan perdagangan global, mengganggu rantaian bekalan dan akhirnya membebankan pengguna di AS sendiri.
"Sejarah menunjukkan bahawa tarif unilateral sering mencetuskan tindakan balas, mengganggu rantaian bekalan dan menjejaskan kestabilan ekonomi," katanya, sambil menekankan bahawa pertikaian perdagangan harus diselesaikan melalui mekanisme pelbagai hala seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
"Walau apa pun, tarif yang diumumkan ini akhirnya akan merugikan pengeluar dan pengguna AS sendiri," kata penganalisis politik Croatia, Drago Patrlj. "Dunia seolah-olah menuju ke arah perang dagang, dan tidak pasti siapa yang akan menang atau kalah," katanya, sambil menambah, "Hakikatnya, semua pihak akan rugi, cuma persoalannya siapa yang akan rugi lebih banyak."
-- BERNAMA
#Donald Trump #tarif #EU #keluli dan aluminium
;