Tarif AS cetus kritikan, kebimbangan di Jerman
Bernama
Februari 3, 2025 13:30 MYT
Februari 3, 2025 13:30 MYT
BERLIN: Langkah tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap Kanada, Mexico dan China mencetuskan kritikan serta kebimbangan di Jerman, lapor Xinhua.
Pada Sabtu, Trump mengarahkan pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas import dari Mexico dan Kanada serta 10 peratus ke atas barangan dari China.
Beliau turut memberi bayangan bahawa Kesatuan Eropah (EU) mungkin menjadi sasaran seterusnya, dengan alasan lebihan dagangan blok itu dengan AS.
Canselor Jerman Olaf Scholz menegaskan komitmen negaranya terhadap hubungan ekonomi dengan AS, namun menekankan bahawa keutamaan pertama adalah "tidak memecah-belahkan dunia dengan pelbagai sekatan tarif".
"Tarif tidak pernah menjadi idea yang baik untuk menyelesaikan konflik dasar perdagangan," kata Pengerusi Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) Jerman Friedrich Merz sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh memberi kesan buruk kepada AS, dengan kenaikan kos import yang berpotensi meningkatkan inflasi dan membebankan pengguna.
Presiden Persekutuan Perdagangan Borong, Perdagangan Luar dan Perkhidmatan Jerman (BGA), Dirk Jandura menyifatkan tindakan itu sebagai amaran jelas kepada EU dan Ursula von der Leyen, serta menegaskan bahawa Jerman dan EU tidak seharusnya berdiam diri.
"Langkah ini akan memberi kesan besar kepada rakyat Amerika sendiri," katanya.
Syarikat-syarikat Jerman turut bersiap sedia menghadapi kesan tarif, khususnya dalam industri automotif susulan banyak syarikat membekalkan pasaran AS dari Mexico.
Menurut akhbar Handelsblatt, Mexico menjadi lokasi pelaburan paling penting bagi Jerman di Amerika Latin sejak bertahun-tahun, dengan jumlah pelaburan melebihi US$45 bilion sejak 2000-an.
Volkswagen Group, yang mengendalikan satu daripada kilang pengeluaran kenderaan terbesar di Mexico, menghasilkan hampir 80 peratus kenderaan bagi pasaran Amerika Utara di Mexico dan Kanada.
Seorang jurucakap Volkswagen menyuarakan kebimbangan mengenai kesan ekonomi tarif itu, sambil memberi amaran bahawa ia boleh memberi impak negatif kepada pengguna di AS serta industri automotif global.
-- BERNAMA