Tanzania mahu bina kereta kabel di Gunung Kilimanjaro, ada pihak tidak senang hati...

Agensi
Mei 26, 2019 18:21 MYT
Pelancongan adalah antara punca pendapatan utama Tanzania, yang turut terkenal dengan destinasi pantai, hidupan liar dan Gunung Kilimanjaro. - Reuters
Tanzania mahu melonjakkan kedatangan pelancong ke negara itu menerusi perancangannya untuk membina kemudahan kereta kabel di Gunung Kilimanjaro.
Reuters melaporkan, hasrat mengenai projek di gunung tertinggi di Afrika itu, sedang dirunding dengan syarikat-syarikat dari China dan Barat.
Kira-kira 50,000 pelancong mendaki Kilimanjaro setiap tahun. Dengan adanya perkhidmatan kereta kabel, bilangan pelancong dijangka meningkat sehingga 50 peratus, berikutan akses bagi golongan yang tidak berupaya mendaki gunung itu, bakal tersedia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Constantine Kanyasu, berkata kerajaan sedang membuat kajian kebolehlaksanaan mengenai laluannya.
"Kami masih mengkaji jika projek ini dapat dilaksanakan. Terdapat dua buah syarikat, satu dari China dan satu lagi daru negara Barat, sudah menunjukkan minat.
“Ini bukanlah yang pertama di dunia. Kereta kabel sudah digunakan di Sweden, Itali dan di Himalaya,” ujarnya.
Kanyasu menambah, kerajaan Tanzania kini sedang menilai pelan bisnes, pelabur berpotensi dan keuntungan.
Perkembangan itu bagaimanapun, tidak disenangi komuniti pemandu pendakian dan malim gunung, yang mendakwa projek itu hanya akan mengurangkan bilangan pendaki, sekali gus menyusutkan punca pendapatan mereka.
“Kami percaya bahawa persekitaran gunug ini tidak perlu diganggu,” ujar ketua Pertubuhan Malim Gunung Tanzania, Loishiye Mollel.
Setakat ini terdapat kira-kira 20,000 malim gunung dan pengangkat barang yang bekerja keras antara Gunung Kilimanjaro dengan Gunung Meru, yang terletak berdekatan.
Pelancongan adalah antara punca pendapatan utama Tanzania, yang turut terkenal dengan destinasi pantai, hidupan liar dan Gunung Kilimanjaro.
#gunung kilimanjaro #kerajaan #kereta kabel #malim gunung #pelancongan
;