Tanzania haramkan produk pelincir untuk banteras aktiviti gay
Agensi
Julai 22, 2016 22:17 MYT
Julai 22, 2016 22:17 MYT
Kerajaan Tanzania telah mengharamkan import dan jualan bahan pelincir bagi tujuan seks dalam usahanya mengekang aktiviti golongan gay, ujar sumber rasmi negara itu.
Agensi berita AFP melaporkan, Menteri Kesihatan Ummy Mwalimu menjelaskan langkah itu diambil berdasarkan alasan bahawa produk berkenaan menggalakkan perbuatan homoseksual, yang mana ia turut diharamkan di negara-negara timur Afrika.
“Kerajaan telah mengharamkan import dan penggunaan gel tersebut untuk mengawal penularan HIV.
“Dianggarkan bahawa 23 peratus lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki di Tanzania hidup dengan HIV/AIDS. Saya sudah mengarahkan produk tersebut agar tidak dijual di pasaran,” ujar menteri berkenaan kepada media negara itu pada Selasa.
Tambahnya, kumpulan sokongan komuniti gay mengagihkan bahan pelincir itu secara percuma selama ini, maka pihak kementerian akan bekerjasama dengan pihak terbabit agar wang yang digunakan untuk pengimportan bahan itu dimanfaatkan untuk perbelanjaan wad-wad bersalin.
Seks antara lelaki boleh dihukum penjara seumur hidup di Tanzania, namun belum ada sebarang larangan tentang hubungan lesbian. Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat akibat aktiviti homoseksual di negara itu.
Pesuruhjaya di bandar pelabuhan Dar es Salaam yang baru dilantik, Paul Makonda, sebelum ini mengumumkan usaha membanteras kegiatan komuniti gay, termasuk tidakan menahan mereka yang dipercayai sebagai golongan tersebut.