Tanpa pembiayaan AS, lebih 6 juta berisiko maut akibat HIV/AIDS - Agensi PBB

Bernama
Februari 8, 2025 11:40 MYT
20 juta daripada 30 juta orang positif HIV di seluruh dunia bergantung kepada bantuan AS untuk mendapatkan rawatan. - Gambar hiasan
GENEVA: Penggantungan program bantuan luar oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump boleh menyebabkan 6.3 juta kematian akibat HIV dan AIDS dalam tempoh empat tahun akan datang, menurut sebuah organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menangani penyakit itu.
"Masih banyak kekeliruan... mengenai bagaimana pengecualian ini akan dilaksanakan dan kami melihat gangguan besar dalam penyampaian perkhidmatan rawatan," Agensi Anadolu memetik Timbalan Pengarah Eksekutif UNAIDS, Christine Stegling sebagai berkata dalam taklimat PBB di Geneva.
Mengulas mengenai kesan pembekuan dana itu, Stegling menjelaskan bahawa 20 juta daripada 30 juta orang positif HIV di seluruh dunia bergantung kepada bantuan AS untuk mendapatkan rawatan.
Beliau turut menegaskan bahawa tindak balas global terhadap HIV sangat bergantung kepada dana daripada Pelan Kecemasan Presiden AS untuk Bantuan AIDS (PEPFAR), yang membiayai 70 peratus usaha menangani AIDS secara keseluruhan.
"Kami menganggarkan bahawa jika PEPFAR tidak diperbaharui antara 2025 hingga 2029 dan sumber lain tidak diperoleh untuk menangani HIV, akan berlaku peningkatan 400 peratus dalam kematian akibat AIDS.
"Itu bersamaan dengan 6.3 juta kematian berkaitan AIDS yang bakal berlaku pada masa hadapan," Stegling memberi amaran.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembekuan dana ini akan memberi kesan besar kepada sistem kesihatan dengan contoh paling ketara di Ethiopia, dengan UNAIDS sebelum ini membiayai 5,000 kontrak pekerja kesihatan awam menerusi bantuan AS.
-- BERNAMA
#program bantuan luar #Donald Trump #HIV #AIDS
;