Tanpa bekalan elektrik, hospital di Palestin boleh jadi "kubur beramai-ramai" - Doktor
Agensi
Oktober 23, 2023 06:30 MYT
Oktober 23, 2023 06:30 MYT
SEORANG doktor berdarah British-Palestin yang berkunjung ke Gaza untuk membantu hospital-hospital di sana memberi amaran tanpa bekalan elektrik, pusat-pusat perubatan tempat beliau berkhidmat akan menjadi “tanah perkuburan terbuka.”
Menurut Dr Ghassan Abu-Sittah, tanpa bekalan api, "tiada yang boleh dilakukan untuk membantu pesakit-pesakit yang cedera" di Hospital Al-Shifa.”
"Sistem ini sedang runtuh, dan tanpa gencatan senjata dan koridor kemanusiaan yang sebenar - bukan hanya 14, 15, 20 trak sebagai simbolik untuk dua juta lebih penduduk, tetapi koridor kemanusiaan sebenar yang membenarkan pemindahan pesakit yang cedera dan membawa bantuan kemanusiaan serta pasukan perubatan untuk datang - tanpa itu, akan terjadi bencana yang lebih besar daripada yang sedia ada di sini," kata Abu-Sittah dalam wawancara bersama penyampai berita CNN, Christiane Amanpour pada Isnin.
Abu-Sittah berkata, hospital itu sudah kehabisan bekalan untuk membalut luka akibat dibom dengan lebih daripada 100 pesakit di hospital itu melecur lebih 40 peratus tubuh mereka.
Dalam masa sama, kata beliau, terdapat lebih daripada 150 pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan akibat kecederaan yang kritikal di hospital itu selain pasukan perubatan juga sudah kehabisan keperluan untuk melakukan pembedahan ortopedik.
Abu-Sittah turut memberitahu CNN, sejumlah pesakit yang cedera dan pesakit di Hospital Al-Ahli Baptist telah dibawa ke Hospital Al-Shifa.
Katanya, bekalan elektrik mula terputus dan tekanan air tidak mencukupi untuk menjalankan mesin sterilisasi yang diperlukan untuk peralatan pembedahan.
"Paling penting, kami sudah kehabisan ruang. Hospital yang mempunyai kapasiti katil antara 550 dan 700 katil kini mempunyai 1,700 pesakit tidur di sekitar lorong, di lantai jabatan kecemasan. Keadaan ini sangat teruk, dan kita hampir di hujung sistem apabila ia perlahan-lahan mula runtuh," katanya.
Pakar bedah itu turut berkongsi pengalaman merawat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang "melecur di wajah, tangan dan kaki."
Beliau berkata, remaja itu memberitahu "dia sedang makan malam bersama ibu bapanya dan ayahnya yang duduk di sebelahnya terbunuh manakala ibunya mati lemas dalam kebakaran."
"Kini di Hospital Shifa terdapat istilah yang digunakan, iaitu 'kanak-kanak cedera tanpa keluarga yang masih hidup' merujuk kepada lebih daripada 50 kanak-kanak yang telah ditarik keluar dari runtuhan bangunan tanpa keluarga dan mengalami kecederaan serta dirawat di hospital," kata Abu-Sittah.
"Untuk sistem yang mempunyai kapasiti katil sebanyak 2,500 katil sebelum perang bermula, kami hanya menunggu masa elektrik habis, bahan api habis dan itu akan menjadi kematian... kematian sistem kesihatan," tambah beliau lagi. - Agensi